Juruterbang India desak Boeing 787 digantung susulan insiden peranti kuasa kecemasan aktif semasa penerbangan

Federation of Indian Pilots (FIP) menggesa penggantungan operasi semua pesawat Boeing 787 Dreamliner di India susulan insiden Ram Air Turbine (RAT) aktif secara tiba-tiba dalam penerbangan Air India. -Gambar fail/Adobe Stock
NEW DELHI: Kesatuan juruterbang terbesar India menggesa pihak berkuasa penerbangan negara itu menggantung operasi semua pesawat Boeing 787 Dreamliner susulan insiden peranti kuasa kecemasan yang dikenali sebagai Ram Air Turbine (RAT) aktif secara tiba-tiba ketika penerbangan Air India dari Amritsar ke Birmingham, United Kingdom.
Ringkasan AI
- Federation of Indian Pilots (FIP) menggesa penggantungan operasi semua pesawat Boeing 787 Dreamliner di India susulan insiden Ram Air Turbine (RAT) aktif secara tiba-tiba dalam penerbangan Air India.
- Insiden terbaharu melibatkan pesawat AI117 berlaku ketika pendekatan ke landasan di Birmingham, walaupun semua sistem dilaporkan normal dan pesawat mendarat dengan selamat.
- FIP menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kelemahan sistem elektrik pesawat dan menuntut audit teknikal menyeluruh, susulan insiden RAT kedua dalam beberapa bulan yang telah menyebabkan nahas maut sebelum ini.
"Kami gesa pemeriksaan menyeluruh ke atas semua 34 pesawat Dreamliner yang beroperasi di India,” kata Presiden FIP, Kapten Charanvir Singh Randhawa dalam surat kepada Directorate General of Civil Aviation (DGCA).
Air India dalam kenyataan susulan memaklumkan bahawa pesawat tersebut mendarat dengan selamat dan pemeriksaan awal menunjukkan semua parameter elektrik dan hidraulik adalah normal. Namun, penerbangan pulang telah dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Insiden ini adalah yang kedua melibatkan RAT dalam tempoh beberapa bulan. Pada 12 Jun lalu, pesawat Boeing 787 milik Air India terhempas di Ahmedabad selepas RAT diaktifkan susulan kehilangan kuasa, mengorbankan 260 orang termasuk 19 mangsa di darat.
Laporan awal siasatan mendapati suis kawalan bahan api telah dialihkan ke mod “cutoff” sebelum impak, menyebabkan kedua-dua enjin kehilangan bekalan bahan api.
RAT diaktifkan seperti yang dijangkakan dalam situasi kehilangan kuasa, namun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan sama ada ia menjadi punca atau kesan kepada nahas tersebut.
FIP menegaskan bahawa insiden terbaharu ini menunjukkan kemungkinan wujud kelemahan sistem elektrik secara sistemik dalam pesawat Boeing 787 dan menyeru agar audit teknikal menyeluruh dilakukan segera.
Setakat ini, DGCA belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan susulan terhadap permintaan kesatuan juruterbang tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami