INTERNATIONAL
Jutaan jemaah banjiri Masjidil Haram pada malam 27 Ramadan
Umat Islam dari seluruh dunia memenuhi segenap ruang di Masjidil Haram yang dianggarkan menerima jumlah jemaah seramai 4.2 juta orang pada malam Rabu. - Gambar Reuters
RIYADH: Jutaan umat Islam dari seluruh dunia membanjiri Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah pada malam ke-27 Ramadan untuk menunaikan solat Tarawih dan Tahajjud.
Menurut laporan stesen berita Al-Ekhbariya, Masjidil Haram mencatatkan rekod baharu apabila menerima lebih 4.2 juta jemaah pada malam Rabu.
Para jemaah hadir untuk mencari Lailatul Qadar, malam yang penuh keberkatan dan salah satu malam terpenting dalam Islam.
Dalam kitab suci al-Quran, malam ini disebut sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan, namun tarikh tepatnya tidak diketahui.
Bagaimanapun, ia secara meluas dianggap jatuh pada malam ke-27 Ramadan. Umat Islam juga digalakkan untuk mencari malam ini pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir.
Rancangan operasi pada malam tersebut merangkumi persiapan kawasan Mataf (tempat tawaf) untuk menampung 107,000 jemaah setiap jam, bagi memastikan pergerakan di dalam Masjidil Haram berjalan lancar.
Pihak berkuasa juga telah melengkapkan masjid dengan 428 eskalator dan 28 lif serta sistem audio moden yang terdiri daripada 1,300 pembesar suara, selain menyediakan sumber kuasa dengan kapasiti sehingga 90,000 tan untuk menyejukkan Masjidil Haram.
Jabatan Kesihatan Wilayah Makkah turut meningkatkan perkhidmatan mereka melalui pusat perubatan yang terletak di dalam dan di perkarangan Masjidil Haram bagi memberikan rawatan perubatan kepada para jemaah. - Agensi