DUNIA

Jutaan penduduk Ukraine terjejas gangguan bekalan elektrik selepas serangan Rusia

Bernama 10/11/2025 | 10:48 MYT
Ukrenergo, syarikat tenaga milik kerajaan, pada Isnin mengumumkan gangguan bekalan elektrik berjadual selama beberapa jam di pelbagai wilayah apabila kemudahan tenaga dan pemanasan diserang Rusia. - AP
KYIV: Jutaan penduduk di Ukraine terjejas akibat gangguan bekalan elektrik pada Isnin susulan serangan Rusia ke atas infrastruktur tenaga negara itu hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik pihak berkuasa.

Ukrenergo, syarikat tenaga milik kerajaan, pada Isnin mengumumkan gangguan bekalan elektrik berjadual selama beberapa jam di pelbagai wilayah apabila kemudahan tenaga dan pemanasan diserang Rusia menjelang musim sejuk.

"Pada masa ini, di kebanyakan wilayah, pasukan pembaikan, pembekal tenaga dan perkhidmatan majlis perbandaran bekerja tanpa henti - semua pihak terlibat," kata Presiden Volodymyr Zelensky dalam mesej video pada Ahad malam. "Kerja pemulihan sedang dijalankan, dan walaupun situasi sukar, ribuan orang sedang berusaha menstabilkan sistem dan membaiki kerosakan."

Di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, perkhidmatan metro disambung semula pada pagi Isnin selepas terhenti selama dua hari akibat kekurangan bekalan elektrik.

Pasukan Rusia melancarkan ratusan dron dan puluhan peluru berpandu pada malam Sabtu, menyasarkan bukan sahaja loji jana kuasa malah pencawang, talian penghantaran dan bahagian lain grid elektrik.

Wilayah Kharkiv dan Poltava di timur antara kawasan yang paling terjejas hujung minggu lalu.

Pegawai Ukraine berkata Moscow bertujuan terus menggugat kestabilan negara dengan menenggelamkan wilayah timur dalam kegelapan dan kesejukan, menjadikan kehidupan penduduk awam amat sengsara sehingga mencetuskan satu lagi gelombang perpindahan besar-besaran.

Tentera Udara Ukraine melaporkan lebih banyak serangan dron pada malam sebelumnya. Tentera Rusia turut menggunakan peluru berpandu hipersonik Kinzhal, menurut Kyiv.

-- BERNAMA

#bekalan elektrik terputus #Ukraine #penduduk terjejas #serangan dron #Rusia