Kabinet baharu Thailand pertengahan Julai - Prayuth

Bernama
Jun 25, 2019 15:17 MYT
Prayuth dilaporkan menghadapi kesukaran memilih anggota kabinetnya kerana beberapa parti gabungan mendesak diberikan lebih banyak kerusi. - Gambar fail
Kabinet baharu Thailand dijangka diumumkan pada pertengahan Julai, kata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini.
Semakan latar belakang anggota kabinet baharu itu mengambil masa beberapa bulan selepas berlangsung Pilihan Raya Umum pada 24 Mac, katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di Rumah Kerajaan di sini.
Media tempatan melaporkan bahawa Prayuth, yang disokong oleh Parti Palang Pracharath (PPRP) menghadapi kesukaran untuk memilih anggota kabinetnya oleh kerana beberapa parti gabungan mendesak diberikan lebih banyak kerusi.
Gabungan pimpinan PPRP itu yang turut disertai 18 parti politik lain, mendapat majoriti tipis dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 anggota.
Barisan demokratik yang dipimpin oleh Pheu Thai dan enam parti sekutunya meraih 246 kerusi.
- BERNAMA
#Dewan Perwakilan #kabinet #kerajaan #kerusi #parti gabungan #Parti Palang Pracharath #Perdana Menteri #Pheu Thai #pilihan raya #politik #PPRP #Prayuth Chan o-cha #Thailand