Skip to main content

Dunia

Kabinet Belgium bercanggah pendapat isu visa 13 pelajar biasiswa Palestin

Isu pemberian visa kepada pelajar Palestin dari Gaza yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti Belgium menjadi perdebatan. - Gambar hiasan
Isu pemberian visa kepada pelajar Palestin dari Gaza yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti Belgium menjadi perdebatan. - Gambar hiasan

Advertisement

ISTANBUL: Barisan menteri utama kerajaan persekutuan Belgium bercanggah pendapat pada Sabtu berhubung pemberian visa kepada 13 pelajar Palestin yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti negara itu, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita Belga pada Ahad.

Kabinet itu bermesyuarat bagi membincangkan langkah berkaitan belanjawan apabila isu pemberian visa kepada pelajar Palestin dari Gaza yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti Belgium turut dibangkitkan.

Parti liberal berbahasa Perancis, MR, dilaporkan menjadi satu-satunya parti politik yang menolak kompromi yang dicapai Menteri Luar Maxime Prevot sebelum ini dengan Menteri Suaka dan Migrasi Anneleen Van Bossuyt.

Kompromi itu menetapkan bahawa pelajar berkenaan tidak boleh menjadikan ketibaan mereka di Belgium sebagai alasan untuk memohon suaka atau penyatuan semula keluarga.

Ia turut menetapkan penubuhan pasukan petugas diketuai Van Bossuyt bagi meneliti kaedah untuk mempercepat dan meningkatkan keberkesanan prosedur menghantar pulang individu yang menetap secara haram di negara itu.

"Saya telah bersetuju untuk membincangkan cadangan dalam kerangka itu dan selepas menelitinya, menyokong cadangan tertentu sekiranya ia berkesan, berkadar dan mematuhi undang-undang," kata Prevot seperti dilaporkan.

Walaupun persetujuan itu masih memerlukan kelulusan barisan menteri utama kerajaan, Prevot dalam kenyataan media yang diperoleh Belga berkata MR merupakan satu-satunya parti dalam gabungan kerajaan yang menghalang persetujuan berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai “ugutan”. 

"Tindakan menghalang ini memalukan dari sudut kemanusiaan dan amat dikesali dari segi politik. Kita bercakap mengenai 13 golongan muda yang dianugerahkan biasiswa untuk meneruskan pengajian di universiti kita," kata Prevot.

Beliau memberi amaran bahawa masa depan pelajar berkenaan tidak seharusnya dijadikan "bahan tawar-menawar" dalam rundingan mengenai migrasi.

"Saya benar-benar sedih dengan nasib 13 golongan muda ini," tambah Prevot.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement