Kabinet Jepun lulus polisi 'keupayaan serangan balas', Korea Utara beri amaran

Bernama
Disember 20, 2022 07:10 MYT
Pyongyang mendakwa Tokyo mencetuskan ancaman keselamatan yang serius kepada rantau itu dengan menerima pakai dasar baharu untuk melakukan serangan awal mengejut terhadap negara lain.- AP Newsroom
SEOUL: Korea Utara pada Selasa mendakwa Jepun cuba memformalkan strategi keselamatan yang merangkumi "keupayaan serangan balas" terhadap pangkalan musuh dan Pyongyang memberi amaran akan mengambil "tindakan sebenar" sebagai respons kepada langkah Tokyo itu.
Kementerian Luar Pyongyang dalam satu kenyataan memaklumkan Tokyo mencetuskan ancaman keselamatan yang serius kepada rantau itu dengan menerima pakai dasar baharu untuk melakukan serangan awal mengejut terhadap negara lain, lapor Agensi Berita Yonhap.
Susulan langkah itu, keadaan keselamatan di Asia Timur pada asasnya telah berubah dan Jepun perlu sedar bahawa mereka telah membuat "pilihan salah dan sangat berbahaya".
Bagaimanapun, tiada pendedahan dibuat berhubung 'tindakan sebenar' yang bakal diambil Pyongyang.
Jumaat lalu, Kabinet Jepun meluluskan dokumen mengenai dasar "keupayaan serangan balas" bagi negara itu melancarkan serangan balas sekiranya Tokyo dan sekutunya, Amerika Syarikat diserang.
-- BERNAMA
#Korea Utara #Jepun #serangan balas #ancaman keselamatan