SINGAPURA: Tujuh menteri akan bertukar portfolio dalam rombakan Kabinet Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat.

Ia dua minggu susulan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat memutuskan untuk mengundur diri sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Memetik laporan Channel NewsAsia, Lee berkata ia merupakan rombakan yang lebih meluas daripada kebiasaan pada awal pemerintahan kerajaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, rombakan itu dibuat atas dua sebab iaitu berlaku perubahan pada jawatan Menteri Kewangan.

Mengikut Belanjawan 2021, Heng meletak jawatan daripada portfolio berkenaan.

Tambahnya, kewangan merupakan kementerian utama dan apabila Menteri Kewangan bertukar, ia mendatangkan banyak kesan.

Lawrence Wong, 48, yang baharu sahaja dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Julai lalu dan juga merupakan Menteri Kewangan Kedua sejak 2016, akan mengambil alih sebagai Menteri Kewangan.

Heng, 60, kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Penyelaras Dasar Ekonomi.

Dalam pada itu, Lee berkata beliau menggerakkan menteri-menteri untuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga Kerja dan Kementerian Perdagangan dan Industri.

Katanya, beliau telah membuat pertimbangan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum pada tahun lepas, namun tidak berbuat demikian memandangkan Singapuran masih dalam pertempuran menentang COVID-19.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengerahkan kembali beberapa menteri untuk memberikan mereka tanggungjawab baharu serta memperoleh pendedahkan dan menimba pengalaman yang berbeza,” katanya.

Bekas Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Ong Ye Kung dari Kementerian Pengangkutan akan mengambil tugas sebagai Menteri Kesihatan.

Ong akan menjadi ketua pasukan petugas multi-kementerian COVID-19 dengan Wong.

Gan Kim Yong pula yang telah menjawat jawatan Menteri Kesihatan selama hamper satu dekad akan dipindahkan untuk memimpin Kementerian Perdagangan dan Industri.

Kementerian Pengangkutan kini pula akan dipimpin S. Iswaran manakala Menteri Tenaga Kerja, Josephine Teo akan dipindahkan ke Kementerian Komunikasi dan Maklumat.

Tan See Leng pula akan menjadi pengganti Teo di Kementerian Tenaga Kerja.

Semua pelantikan baharu berkuat kuasa pada 15 Mei, selepas persidangan Parlimen berikutnya pada 10 Mei.
Rombakan tersebut dilakukan sembilan bulan setelah Kabinet baharu dibentuk susulan Pilihan Raya Umum pada Julai 2020.