TOKYO: Kadar kelahiran Jepun merosot untuk tahun ke-10 berturut-turut apabila hanya 705,809 bayi dilahirkan pada 2025, menurun 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya mengikut data awal Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.
Trend penurunan ini dilaporkan berlaku 17 tahun lebih awal daripada unjuran asal Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan, sekali gus memburukkan lagi krisis tenaga kerja di negara ekonomi keempat terbesar dunia itu.
Advertisement
Dalam tempoh sama, jumlah kematian mencecah kira-kira 1.6 juta orang iaitu nisbah lebih dua kepada satu berbanding kelahiran, manakala pendaftaran perkahwinan kekal rendah pada angka 505,656 pasangan meskipun menunjukkan sedikit peningkatan.
Pentadbiran Perdana Menteri Sanae Takaichi kini berdepan tekanan demografi besar dan sedang mempersiapkan langkah baharu termasuk potongan cukai bagi khidmat penjaga kanak-kanak serta insentif korporat untuk penyediaan pusat asuhan di tempat kerja.
Selain memperuntukkan 3.6 trilion yen setahun bagi pakej penjagaan anak, kerajaan turut berjanji mengurangkan kos kehamilan melalui pemeriksaan pranatal dan yuran bersalin percuma serta meningkatkan gaji pekerja sektor penjagaan.
Data awal ini merangkumi kelahiran warga asing di Jepun dan rakyat Jepun di luar negara, manakala angka muktamad 2024 bagi rakyat domestik sahaja mencatatkan rekod terendah iaitu 686,000 kelahiran sejak 1899.
Pakar ekonomi dan demografi memberi amaran bahawa pengecilan populasi ini bakal melumpuhkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara dalam jangka panjang jika penyepaduan penduduk warga asing tidak dijadikan sebahagian daripada strategi kebangsaan.
Walaupun wilayah Tokyo dan Ishikawa menunjukkan peningkatan kecil, kawasan luar bandar terus bergelut dengan pengosongan penduduk yang kritikal.
Situasi ini berbeza dengan Korea Selatan yang mula menunjukkan peningkatan kadar kesuburan bagi tahun kedua pada 2025 hasil insentif kerajaan yang agresif dalam menangani kos sara hidup keluarga.