DUNIA

Kadar kematian bayi meningkat, Mississippi isytihar darurat kesihatan awam

Bernama 23/08/2025 | 10:03 MYT
Data bagi tahun 2024 menunjukkan kadar kematian bayi keseluruhan di Mississippi telah meningkat kepada 9.7 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup. - Gambar hiasan/Unsplash
ISTANBUL: Jabatan Kesihatan Negeri Mississippi pada Khamis mengisytiharkan darurat kesihatan awam sebagai respons kepada peningkatan kadar kematian bayi di negeri Amerika Syarikat (AS) itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Data bagi tahun 2024 menunjukkan kadar kematian bayi keseluruhan di Mississippi telah meningkat kepada 9.7 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, paras tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.

Sejak 2014, seramai 3,527 bayi telah meninggal dunia sebelum mencapai usia setahun.

"Terlalu banyak keluarga di Mississippi kehilangan bayi mereka sebelum ulang tahun pertama," kata Pegawai Kesihatan Negeri Dr Dan Edney dalam satu kenyataan.

"Setiap kehilangan bayi mewakili sebuah keluarga yang hancur, komuniti yang terkesan dan masa depan yang tidak kesampaian."

Jabatan kesihatan itu memaklumkan punca utama kematian bayi di Mississippi termasuk kecacatan kongenital, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan Sindrom Kematian Bayi Mengejut.

-- BERNAMA

#kematian bayi #darurat kesihatan awam #Mississippi #Amerika Syarikat #kelahiran pramatang