[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Kajian dapati bahan kimia PFAS meluas dalam paus, lumba-lumba

Bernama 24/11/2025 | 14:02 MYT
Pencemaran itu kini menjejaskan segala-galanya daripada lumba-lumba Maui yang terancam di kawasan pesisiran sehinggalah paus paruh dan paus sperma yang berada di laut dalam. - Gambar hiasan
WELLINGTON: Pencemaran bahan kimia PFAS menjejaskan lebih banyak paus dan ikan lumba-lumba berbanding yang diketahui sebelum ini, termasuk spesies ikan yang berada jauh dari kawasan aktiviti manusia, menurut penyelidikan baharu, lapor Xinhua.

Penyelidik yang menganalisis sampel hati daripada 127 paus dan lumba-lumba yang terdampar di perairan New Zealand mendapati PFAS, atau bahan per- dan polifluoroalkil, terdapat dalam 16 spesies, dengan lapan spesies termasuk lumba-lumba Hector dan tiga spesies paus paruh diuji untuk PFAS pada peringkat global buat kali pertama, menurut artikel yang diterbitkan oleh The Conversation pada Isnin.

Lebih mengejutkan, habitat haiwan tidak menentukan tahap pendedahannya. Sebaliknya, jantina dan umur menjadi indikator lebih kuat tentang jumlah bahan cemar yang terkumpul dalam paus atau lumba-lumba dan mamalia laut yang lebih tua, lebih besar serta yang jantan pula membawa tahap pencemaran lebih tinggi, menurut kajian pasukan penyelidik dari New Zealand dan Australia.

"PFAS pada asalnya direka untuk memudahkan penggunaan produk harian, namun akhirnya menjadi pencemar alam sekitar dan kesihatan awam yang meluas," katanya, sambil menjelaskan yang kajian itu memberikan bukti jelas bahawa "tiada bahagian lautan kini bebas daripada pencemaran manusia".

Bahan kimia kekal sintetik ini, yang digunakan sejak 1950-an dalam produk seperti peralatan memasak tidak melekat, pembungkusan makanan, produk pembersihan dan buih pemadam kebakaran, boleh kekal tanpa had, memasuki rantaian makanan, serta melekat pada protein dan terkumpul dalam darah dan organ haiwan, mengganggu hormon, fungsi imun serta pembiakan, menurut penyelidik.

Pencemaran itu kini menjejaskan segala-galanya daripada lumba-lumba Maui yang terancam di kawasan pesisiran sehinggalah paus paruh dan paus sperma yang berada di laut dalam, menurut penyelidik dari Universiti Massey dan Universiti Auckland di New Zealand, serta Universiti Teknologi Sydney dan Universiti Wollongong di Australia, antara lain.

"Paus di kawasan paling terpencil membawa beban PFAS yang tinggi dan kita juga tahu manusia juga tidak terkecuali daripada pencemaran ini," kata penulis.

-- BERNAMA

#hidupan laut #bahan kimia #paus #lumba-lumba #PFAs