ISTANBUL: Kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh Asia bertafakur seketika bagi mengenang rakan sekerja yang terkorban di Gaza akibat serangan Israel.

Demi memperingati rakan seperjuangan yang gugur, bendera PBB turut dikibar separuh tiang di ibu pejabat agensi itu, lapor Agensi Anadolu.

"Kakitangan PBB di Afghanistan bertafakur selama seminit dan bendera PBB dikibar separuh tiang, ketika kami meratapi lebih 100 rakan sekerja yang terkorban di Gaza - jumlah tertinggi yang terkorban akibat perang dalam sejarah organisasi kami," menurut kenyataan pejabat PBB di Afghanistan.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) minggu lalu memaklumkan bahawa 99 kakitangannya terbunuh di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.




Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini memberitahu Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa untuk Orang Awam di Gaza yang diadakan di Perancis bahawa bulan lalu merupakan bulan yang amat memilukan bagi UNRWA.

"Seramai 99 daripada rakan sekerja saya terbunuh di Gaza. Jumlah terbesar pekerja bantuan PBB terkorban dalam masa yang singkat," katanya.

Para pegawai PBB yang berpangkalan di Bangkok, Thailand turut berkumpul di pekarangan ibu pejabat bagi memperingati rakan-rakan mereka yang terbunuh dan bendera turut dikibar separuh tiang.

-- BERNAMA