Skip to main content

Dunia

Kamala Harris beri bayangan mungkin bertanding Presiden AS 2028

Kamala Harris, former Vice President and 2024 Presidential candidate, speaks during the National Action Network (NAN) Convention in New York, Friday, April 10, 2026. (AP Photo/Angelina Katsanis)
Kamala Harris, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat dan calon presiden pada pilihan raya 2024, berucap semasa Konvensyen National Action Network (NAN) di New York. - Foto AP

WASHINGTON: Bekas calon presiden Parti Demokrat, Kamala Harris, memberi bayangan kemungkinan beliau kembali ke arena politik untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2028, susulan kekalahannya kepada Donald Trump dalam pilihan raya 2024.

Harris, bekas naib presiden AS, menyentuh kemungkinan itu ketika tampil di atas pentas bersama pemimpin hak sivil Al Sharpton pada konvensyen tahunan National Action Network pada Jumaat.

Advertisement

Kehadirannya disambut dengan sorakan hadirin yang melaungkan “Run again!”, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan politiknya.

Sharpton secara berterus terang mengajukan soalan sama ada Harris bercadang bertanding semula pada 2028.

Walaupun enggan memberikan komitmen jelas, Harris tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Mungkin, mungkin. Saya sedang memikirkannya,” katanya.

Harris kemudian mengimbas pengalamannya berkhidmat selama empat tahun sebagai naib kepada Presiden Joe Biden dari 2021 hingga 2025, dengan menegaskan bahawa beliau memahami sepenuhnya tuntutan jawatan presiden.

“Saya berada hanya satu degup jantung daripada jawatan presiden. Saya menghabiskan masa berjam-jam di West Wing dan Bilik Situasi. Saya tahu apa tugas itu dan apa yang diperlukan,” katanya.

Dalam sejarah politik AS, Harris mencipta rekod sebagai wanita Kulit Hitam dan Asia Selatan pertama yang menerima pencalonan parti utama apabila dipilih mewakili Demokrat dalam perlumbaan presiden 2024.

Namun, pencalonannya berlaku dalam keadaan luar biasa selepas Biden menarik diri daripada persaingan pilihan raya pada Julai 2024 susulan prestasi lemah dalam perbahasan presiden, sebelum menyokong Harris sebagai pengganti.

Disebabkan peralihan itu, Harris tidak melalui proses pemilihan awal parti dan menerima pencalonan Demokrat melalui undian tergempar, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum.

Trump, yang bertanding untuk penggal kedua tidak berturut-turut, akhirnya memenangi pilihan raya tersebut dengan selesa, meraih 312 undi Kolej Pemilih berbanding 226 undi Harris. Keputusan undi popular pula lebih rapat, dengan Trump memperoleh 49.8 peratus dan Harris 48.3 peratus.

Ketika memperkenalkan Harris, Sharpton merujuk perjalanan politiknya sebagai seorang yang sering dipandang rendah, malah memberi amaran tersirat mengenai hala tuju pentadbiran Trump.

Beliau menyatakan penyesalan kerana pengundi Demokrat tidak keluar mengundi dalam jumlah lebih besar pada 2024.

Harris turut menggunakan pentas itu untuk mengkritik dasar luar Trump, khususnya perang melibatkan AS dan Israel dengan Iran, yang disifatkannya sebagai “perang pilihan”.

Menurutnya, pendekatan Trump telah menjejaskan hubungan dengan sekutu lama dan mengurangkan pengaruh global AS.

Walaupun meninggalkan kemungkinan bertanding pada 2028 terbuka, Harris menegaskan pertimbangannya berpusat kepada persoalan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan terbaik kepada rakyat AS.

“Saya memikirkannya dari sudut siapa, di mana dan bagaimana kerja terbaik boleh dilakukan demi rakyat AS. Itu fokus saya buat masa ini,” katanya, sambil menambah beliau akan memberikan maklum balas lanjut pada masa depan.
 

Must Watch Video