Skip to main content

Dunia

'Kami tahu anda di mana' - FBI ikrar banteras jenayah siber Asia Tenggara

41724912613_tbTheFBIseal.jpg
FBI berkata, sindiket jenayah terancang yang menjalankan operasi penipuan berskala besar di rantau ini menyasarkan rakyat Amerika setiap hari. - Gambar fail

PHNOM PENH: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berikrar untuk membanteras pusat penipuan dalam talian di Asia Tenggara yang telah berkembang menjadi operasi berskala industri bertujuan mencuri berbilion dolar daripada mangsa.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa FBI Scott Schelble berkata sindiket jenayah terancang yang menjalankan operasi penipuan berskala besar di rantau ini menyasarkan rakyat Amerika setiap hari.

Advertisement

“FBI akan terus menjejaki secara agresif di mana-mana sahaja mereka beroperasi dan kami akan melakukannya dengan kerjasama rapat dengan sekutu antarabangsa yang dipercayai.

“Sempadan tidak akan melindungi mereka jika mereka menyasarkan orang Amerika. Kami tahu di mana anda berada dan kami akan menangkap anda," kata Schelble kepada media menerusi webinar pagi tadi.

Beliau menyifatkan magnitud jenayah itu sebagai “mengejutkan” dan mendedahkan bahawa Pusat Aduan Jenayah Internet Amerika menerima lebih 80,000 aduan dengan kerugian kewangan melebihi USD2.9 bilion (RM11 bilion) tahun lepas.

Penipuan dalam talian berleluasa di rantau ini dengan sindiket antarabangsa menjadikan Kemboja dan Myanmar sebagai pusat utama untuk menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Pengubahan wang haram, rasuah dan pemerdagangan manusia telah menjadi sinonim dengan jenayah transnasional yang mengancam keselamatan serantau.

Schelble baru-baru ini melawat Thailand, Kemboja dan Vietnam untuk bertemu pegawai penguat kuasa undang-undang dan menyaksikan skala ancaman yang wujud akibat rangkaian penipuan transnasional yang beroperasi di rantau ini.

“Koordinasi rentas sempadan antara negara jiran adalah sangat penting apabila menyasarkan masalah jenayah terancang.

“Aktiviti penipuan bukan sahaja ada di Thailand. Ia bukan unik untuk Kemboja. Bukan unik untuk Vietnam atau Malaysia. Ini masalah serantau. Dan kumpulan jenayah ini tidak terikat dengan undang-undang atau sempadan geografi," katanya.

Di Myanmar, kerajaan tentera telah mula membanteras penipuan dalam talian dan pusat perjudian haram sejak tahun lepas. Media kerajaan The Global New Light of Myanmar pada Selasa melaporkan bahawa lebih 14,000 warga asing yang terlibat dalam jenayah siber telah dihantar pulang sejak Januari.

Kemboja melaporkan telah menghantar pulang lebih 50,000 suspek yang didakwa terlibat dalam jenayah itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas membongkar hab jenayah siber.

Rakyat Kemboja kerugian lebih USD45 juta (RM175 juta) disebabkan oleh penipuan dalam talian tempatan tahun lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.

FBI sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Thai dan Polis Kebangsaan Kemboja untuk melumpuhkan rangkaian jenayah berkenaan.

“FBI komited untuk menjejaki sindiket ini secara agresif di mana sahaja mereka beroperasi. Tetapi ini bukan masalah jenayah yang boleh ditangani FBI sendiri.

“Dan saya sangat bersyukur kerana kami tidak perlu melakukannya (secara bersendirian). Kerjasama kami di Asia Tenggara adalah kukuh dan tiada tandingan,” kata Schelble

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video