[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
INTERNATIONAL

“Kanada bukan untuk dijual…” – PM Carney minta Presiden Trump henti rujuk Kanada negeri ke-51 Amerika

Astro Awani 06/05/2025 | 23:20 MYT
Perdana Menteri Carney (kiri) dan Presiden Trump mengadakan pertemuan di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Selasa. - Foto Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetus kontroversi apabila mencadangkan Kanada menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat semasa sidang media bersama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di White House, di sini, pada Selasa.
“Ia perlukan persetujuan dua pihak, bukan? Saya percaya ini akan jadi pemotongan cukai besar-besaran untuk rakyat Kanada.
“Anda akan dapat ketenteraan percuma, penjagaan kesihatan yang hebat, dan pelbagai kelebihan lain,” kata Trump kepada media.
Trump yang terkenal dengan latar belakang sebagai pemaju hartanah berkata, apabila melihat gabungan kedua-dua negara, beliau merasakan “itulah yang sepatutnya berlaku.”
Namun beliau menambah, “Tapi kami tidak akan bincangkan perkara ini melainkan ada pihak yang mahu membincangkannya.”
Perdana Menteri Carney dengan tegas menolak cadangan tersebut.
“Seperti yang anda tahu dalam dunia hartanah, ada sesetengah tempat yang tidak akan dijual,” katanya kepada Trump.
“Saya telah bertemu dengan rakyat Kanada sepanjang kempen beberapa bulan lalu - Kanada tidak dijual. Dan tidak akan dijual, sampai bila-bila.”
Carney menegaskan, masa depan hubungan Kanada-AS terletak pada kerjasama dan pembinaan bersama, yang menurutnya telah lama terjalin.
Beliau turut menyatakan persetujuan terhadap keperluan memperkukuh keselamatan bersama.
“Kerajaan saya komited untuk meningkatkan pelaburan dalam keselamatan Kanada dan memperkukuh perkongsian strategik kami,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Carney mendedahkan, beliau telah meminta Presiden Trump untuk berhenti merujuk Kanada sebagai “negeri ke-51” dalam pertemuan mereka di White House.
Namun, Carney enggan mendedahkan bagaimana Trump memberi respons terhadap permintaan tersebut.
“Saya tidak tahu,” katanya kepada wartawan semasa sidang media di Kedutaan Kanada, di sini.
“Beliau adalah Presiden. Beliau ada pendirian sendiri.”
Carney menegaskan, beliau telah menyatakan pendirian yang jelas, secara konsisten dan terbuka, termasuk semasa pertemuan tertutup di Pejabat Oval.
“Saya ulangi, ada perbezaan besar antara kehendak dan realiti,” katanya.
“Kita sedang berunding antara dua negara berdaulat, dan Kanada hanya akan menerima perjanjian yang
benar-benar mengutamakan kepentingan negara.”
Dalam satu kenyataan berbahasa Perancis, Carney berkata: “Saya telah nyatakan bahawa tidak wajar untuk terus mengulang-ulang idea ini. Tapi beliau adalah Presiden dan beliau akan cakap apa yang beliau mahu.”
Dalam masa sama, Carney turut memuji peranan Trump dalam meremajakan kerjasama keselamatan antarabangsa termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan memberi jaminan bahawa Kanada akan memberi komitmen penuh dalam pakatan ketenteraan tersebut.
Trump turut mengiktiraf usaha Kanada dalam meningkatkan penyertaan ketenteraan, namun sebelum menamatkan sesi media, beliau kembali menyentuh soal penyatuan Kanada ke dalam AS dan secara berseloroh berkata, “Jangan pernah kata tidak.” - Agensi
#Kanada #negeri ke-51 Amerika #PM Mark Carney #Presiden Donald Trump