[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Kanada senaraikan kumpulan jenayah rentas sempadan berpangkalan di India sebagai organisasi pengganas

Bernama 30/09/2025 | 02:20 MYT
Anggota polis mengiringi Lawrence Bishnoi di mahkamah, New Delhi, India, 18 April 2023. - Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: Kanada menyenaraikan sebuah sindiket jenayah berpangkalan di India sebagai organisasi pengganas berikutan aktiviti haramnya dalam kalangan komuniti diaspora India.

"Kumpulan Bishnoi ialah sebuah organisasi jenayah rentas sempadan. Mereka turut mempunyai kehadiran di Kanada dan aktif di kawasan dengan populasi diaspora yang besar.

"Kumpulan Bishnoi terlibat dalam pembunuhan, insiden tembakan dan pembakaran serta menimbulkan ketakutan melalui kegiatan pemerasan dan ugutan.

"Mereka mewujudkan suasana tidak selamat dalam komuniti dengan menyasarkan penduduk, tokoh masyarakat, perniagaan dan figura budaya," menurut kenyataan kerajaan Kanada pada Isnin.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Gary Anandasangaree berkata penyenaraian Kumpulan Bishnoi yang diketuai Lawrence Bishnoi, 32, sebagai "kumpulan pengganas" di bawah Kanun Jenayah Kanada memberi lebih banyak kuasa kepada pihak penguatkuasaan, termasuk menyita harta dan dana bagi memerangi kesalahan berkaitan keganasan.

"Komuniti tertentu telah menjadi sasaran keganasan, kekerasan dan ugutan oleh Kumpulan Bishnoi.

"Penyenaraian kumpulan jenayah pengganas ini membolehkan kita menggunakan alat yang lebih berkesan untuk menentang dan menghentikan jenayah mereka," katanya.

Nama rangkaian jenayah itu turut dikaitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi seorang aktivis Sikh di Kanada pada 2023 serta kes keganasan dan ugutan terhadap aktivis di negara itu.

Di India, Kumpulan Bishnoi dikaitkan dengan pembunuhan penyanyi Punjabi, Sidhu Moosewala pada Mei 2022 dan pembunuhan ahli politik Muslim, Baba Siddique di kawasan elit Bandra, Mumbai pada Oktober 2024.

-- BERNAMA



#Kanada #jenayah rentas sempadan #India #pengganas