INTERNATIONAL
Kanada tangguh sementara sebahagian tarif balas terhadap Amerika
Perdana Menteri Mark Carney (kanan) bersalaman dengan Presiden Amerika Donald Trump sebaik tiba di White House, Washington, pada 6 Mei lalu. - Gambar AP
OTTAWA: Kanada telah menangguhkan sementara sebahagian daripada tarif balas terhadap Amerika Syarikat (AS), namun Menteri Kewangan, Francois-Philippe Champagne menegaskan, dakwaan kononnya semua tarif tersebut telah digugurkan secara senyap adalah tidak benar.
Penangguhan ini diumumkan ketika Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, bertemu di Rom untuk membincangkan isu perdagangan selepas menghadiri majlis pelantikan Paus Leo XIV di Vatican.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, perbincangan tersebut menyentuh tentang “tekanan perdagangan semasa dan keperluan untuk membina hubungan ekonomi dan keselamatan yang baharu.”
Sementara itu, Vance menyifatkan pertemuan itu sebagai “perjumpaan santai” yang membincangkan kepentingan dan matlamat bersama kedua-dua negara, termasuk dasar perdagangan yang adil.
Carney, yang memenangi pilihan raya Kanada pada 28 April lalu dengan janji untuk bertegas terhadap Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini telah mengenakan tarif balas terhadap berbilion dolar import dari Amerika Syarikat sebagai reaksi kepada tarif AS terhadap barangan Kanada.
Ketika kempen pilihan raya, industri automotif diberikan pengecualian bersyarat selagi syarikat mengekalkan pelaburan dan pengeluaran dalam negara.
Butiran lanjut mengenai penangguhan tarif ini diumumkan menerusi Canada Gazette pada 7 Mei lalu - penerbitan rasmi kerajaan yang turut melibatkan produk berkaitan pemprosesan dan pembungkusan makanan dan minuman, kesihatan, pembuatan, keselamatan negara serta keselamatan awam.
Langkah ini pada mulanya tidak mendapat perhatian umum, sehinggalah laporan daripada Oxford Economics minggu ini mendakwa, pengecualian tersebut meliputi begitu banyak kategori produk, sehingga kadar tarif Kanada terhadap Amerika Syarikat “hampir sifar.”
Ketua pembangkang, Pierre Poilievre, segera memanfaatkan laporan itu untuk menuduh Carney “diam-diam menurunkan kadar tarif balas kepada hampir sifar tanpa memaklumkan rakyat.”
Namun begitu, Champagne menyanggah dakwaan itu sebagai tidak benar.
“Sebagai tindak balas terhadap tarif AS, Kanada telah melancarkan langkah balas terbesar dalam sejarah - termasuk CA$60 bilion dalam bentuk tarif ke atas barangan akhir guna. Sebanyak 70 peratus daripada tarif tersebut masih berkuat kuasa,” kata beliau menerusi platform X.
Pejabat beliau turut memaklumkan kepada AFP, tarif balas Kanada “dikalibrasi untuk memberikan tekanan kepada AS, sambil meminimumkan kesan terhadap ekonomi Kanada.”
Jurucakap Champagne, Audrey Milette menjelaskan, pengecualian tarif diberikan untuk tempoh enam bulan bagi membolehkan syarikat tempatan menyesuaikan rantaian bekalan mereka dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal dari AS.
Tambah beliau, Kanada masih mengenakan tarif terhadap barangan AS bernilai sekitar CA$43 bilion (AS$31 bilion).
Kanada, yang mempunyai penduduk sekitar 41 juta orang, menghantar kira-kira tiga perempat daripada eksportnya ke Amerika Syarikat.
Laporan pasaran pekerjaan terkini menunjukkan, tarif yang dikenakan oleh Trump telah mula memberi kesan negatif terhadap ekonomi Kanada.
Presiden AS itu telah mengenakan tarif umum sebanyak 25 peratus terhadap Kanada, selain tarif khusus terhadap sektor automotif, keluli dan aluminium, namun, sebahagian daripadanya kini digantung sementara menunggu rundingan lanjut. - Agensi