ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada Rabu menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada Nepal selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan bersempadan dengan China, dengan puluhan rakyat kedua-dua negara antara yang dilaporkan hilang, lapor Anadolu Ajansi.
“Jabatan Negara bersedia menyokong kerajaan Nepal dengan bantuan kemanusiaan yang diperlukan,” kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio menerusi hantaran di X.
Beliau turut menyatakan solidariti dengan rakyat Nepal dan berkata Washington mendoakan mereka yang terjejas akibat bencana itu.
We express our solidarity and are united in prayer for the Nepali people following the devastating floods. @StateDept stands ready to support the Government of Nepal with needed humanitarian assistance.
— Secretary Marco Rubio (@SecRubio) August 26, 2026
Perdana Menteri Kanada Mark Carney menyifatkan bencana berkenaan sebagai “amat dahsyat”.
“Ingatan rakyat Kanada bersama semua yang sedang berdepan kesusahan, mereka yang kehilangan insan tersayang serta mereka yang masih menanti khabar,” kata Carney menerusi hantaran di X sambil menambah kerajaannya bersedia memberikan sokongan.
The flash floods along Nepal’s Bhotekoshi River are absolutely devastating.
Canadians are thinking of all those in distress right now, those who have lost a loved one, and all those who are still waiting for answers.
Our government is closely following the situation and…— Mark Carney (@MarkJCarney) August 26, 2026
Sekurang-kurangnya 47 rakyat AS antara yang dilaporkan hilang, manakala 24 rakyat Kanada juga masih belum diketahui nasib mereka, menurut pihak berkuasa Nepal.
Washington dan Ottawa bagaimanapun belum mengesahkan angka itu secara berasingan.
Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 160 nyawa dan menyebabkan lebih 680 orang hilang.
Menurut anggaran kerajaan Nepal, banjir memusnahkan 13 projek hidroelektrik serta 40 kilometer jalan raya.
Kira-kira 200 lori dan 19 jambatan turut dihanyutkan arus deras.
-- BERNAMA-ANADOLU