DUNIA

Kanada teruskan rundingan perdagangan dengan AS sehingga tarikh akhir baharu 1 Ogos - PM

Bernama 11/07/2025 | 10:40 MYT
Carney berkata, sepanjang rundingan perdagangan semasa dengan AS, Kerajaan Kanada tetap mempertahankan pekerja dan perniagaan negara itu. - Gambar/ AP
OTTAWA: Kanada akan meneruskan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga tarikh akhir baharu pada 1 Ogos, kata Perdana Menteri Mark Carney pada Khamis, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Kanada akan meneruskan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat sehingga tarikh akhir baharu pada 1 Ogos, sambil menegaskan komitmen untuk mempertahankan pekerja dan perniagaan serta bekerjasama membanteras penularan fentanyl.
  • Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 35 peratus ke atas import dari Kanada bermula 1 Ogos, sebagai tindak balas terhadap aliran fentanyl dan dakwaan amalan perdagangan tidak adil.
  • Kanada menyatakan kemajuan dalam membina ekonomi nasional dan akan terus memperkukuh hubungan perdagangan global, walaupun berdepan tekanan tarif dari AS.


Carney berkata menerusi akaun media sosialnya bahawa sepanjang rundingan perdagangan semasa dengan AS, Kerajaan Kanada tetap mempertahankan pekerja dan perniagaan negara itu.

"Kami akan terus berbuat demikian sehingga tarikh akhir baharu pada 1 Ogos," katanya.

Beliau berkata Kanada telah mencapai kemajuan penting dalam usaha membanteras penularan fentanyl di Amerika Utara, sambil menegaskan komitmen Kanada untuk terus bekerjasama dengan AS dalam usaha menyelamatkan nyawa dan melindungi masyarakat di kedua-dua negara.

"Kami sedang membina Kanada yang kukuh. Kerajaan persekutuan, wilayah dan daerah telah mencapai kemajuan ketara dalam membina satu ekonomi Kanada," kata Carney sambil menambah bahawa Kanada akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan-rakan di seluruh dunia.

Presiden AS Donald Trump pada Khamis mengumumkan tarif sebanyak 35 peratus ke atas import dari Kanada bermula 1 Ogos.

Trump memuat naik sepucuk surat yang dialamatkan kepada Carney menerusi platform media sosialnya, Truth Social, yang mengkritik Kanada kerana bertindak balas terhadap tarif terdahulu yang dikenakan oleh AS.

Beliau menyatakan bahawa tarif baharu itu antara lain disebabkan aliran fentanyl dari Kanada serta dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil, dan beliau akan "mempertimbangkan pelarasan" ke atas tarif itu sekiranya Kanada bekerjasama dengan AS untuk menghentikan aliran fentanyl.

Pentadbiran Trump sebelum ini telah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan Kanada, tetapi kemudiannya memberi pengecualian ke atas produk di bawah perjanjian perdagangan AS-Kanada-Mexico.

--BERNAMA-XINHUA



TAG: Kanada, AS, rundingan, tarikh akhir baharu, tarif

#Kanada #tarif AS #Donald Trump #mark carney