SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menembak bapanya sebelum mengambil keputusan menembak diri sendiri di Weatherford, Texas.

Memetik laporan New York Post, kanak-kanak perempuan itu dipercayai merancang untuk membunuh keluarganya termasuk haiwan peliharaan di rumah sebelum untuk melarikan diri bersama rakannya ke Georgia.

Kes ini disahkan oleh pegawai polis di Balai Parker, Texas yang memaklumkan rancangan melakukan pembunuhan kejam telah dibuat bersama rakannya beberapa minggu sebelum kejadian.
 

Walau bagaimanapun, rakannya tidak bertindak seperti yang dirancang. 

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Ketika kejadian berlaku, pihak berkuasa menerima aduan selepas terdengar bunyi tembakan sekitar jam 11. 30 malam pada Selasa malam di sebuah rumah di Weatherford, 30 batu dari barat Fort Worth.

Pihak polis menemui seorang kanak-kanak perempuan terbaring di sebelah pistol dengan kesan tembakan di kepala manakala bapanya ditemui dengan kesan tembakan di perut.

Kedua-duanya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans udara untuk rawatan kecemasan.

Sementara itu, rakan kanak-kanak perempuan yang merupakan pesalah juvana kini ditahan polis untuk siasatan lanjut atas kesalahan merancang pembunuhan.



*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.