MARYLAND: Seorang pejalan kaki terjun ke dalam Teluk Maryland bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang tercampak dalam satu kemalangan pada Ahad, kata polis.

Kanak-kanak tersebut tercampak daripada sebuah kereta di jambatan Route 90, Ocean City, kata Jabatan Bomba Ocean City dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sekurang-kurangnya lapan individu tercedera dalam kejadian tersebut, lapor agensi berita AP.

Pihak berkuasa yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mendapati sebuah kereta sedang tergantung dari tepi jambatan berkenaan, kata polis.

Tiga lagi kenderaan dikatakan terlibat dalam kemalangan tersebut.

Kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Kanak-kanak John Hopkins di Baltimore menggunakan helikopter.

Keadaan mangsa lain masih belum diketahui dan pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan.

Polis belum lagi mendedahkan identiti atau umur mangsa yang terlibat.