DUNIA

Kanak-kanak lima tahun maut tangan tersepit pada travelator di resort ski Hokkaido

Bernama 28/12/2025 | 20:15 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas lengan kanannya tersepit pada travelator yang tidak dilengkapi susur tangan di sebuah resort ski di Otaru, Hokkaido, Jepun, pada Ahad. - Foto X Dimsumdaily Hong Kong
SAPPORO: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas lengan kanannya tersepit pada travelator atau laluan pejalan kaki bergerak di sebuah resort ski di utara Jepun pada Ahad, lapor Kyodo News memetik pihak berkuasa tempatan.


Ringkasan AI
  • Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas lengan kanannya tersepit pada travelator di resort ski di Hokkaido, Jepun.
  • Travelator berkenaan tidak dilengkapi susur tangan dan fungsi henti kecemasan tidak beroperasi automatik.
  • Pasukan penyelamat terpaksa membuka sebahagian struktur peralatan bagi mengeluarkan mangsa; resort berjanji siasat punca kejadian dan ambil langkah pencegahan.


Menurut pihak bomba, mereka menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada kira-kira 10 pagi yang memaklumkan bahawa kanak-kanak itu terperangkap pada travelator di Otaru, Hokkaido.

Mangsa dikenal pasti sebagai Hinata Goto yang menetap di Sapporo, sebuah bandar utama berhampiran Otaru.

Menurut polis dan pihak bomba, kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ketika cuba turun dari laluan pejalan kaki bergerak yang menghubungkan kawasan tempat letak kenderaan dengan kawasan cerun ski resort berkenaan. Travelator berkenaan tidak dilengkapi susur tangan.

Pegawai di resort berkenaan memberitahu Kyodo News bahawa fungsi henti kecemasan laluan itu tidak beroperasi secara automatik ketika kejadian berlaku, menyebabkan ibu mangsa terpaksa menekan butang henti.

Menurut pegawai itu, sistem keselamatan berkenaan berfungsi dengan baik semasa pemeriksaan rutin dilakukan lebih awal pada hari kejadian.

Memandangkan kakitangan resort tidak dapat mengeluarkan mangsa, pasukan penyelamat terpaksa membuka sebahagian struktur peralatan bagi mengeluarkannya.

Seorang wakil resort memohon maaf atas kejadian itu dan berjanji akan menyiasat punca kejadian serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Pihak polis dan pengurusan resort memaklumkan bahawa laluan pejalan kaki jenis tali sawat itu, yang dipasang kira-kira enam tahun lalu, mempunyai panjang sekitar 30 meter dan lebar kira-kira 60 sentimeter.

Resort ski berkenaan kekal beroperasi selepas kejadian itu, namun travelator terbabit ditutup.

-- BERNAMA

#Hokkaido #resort ski #kanak-kanak maut #tangan tersepit travelator