[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
DUNIA

Kanak-kanak Palestin yang kehilangan sembilan adik-beradik tiba di Itali untuk rawatan

Astro Awani 12/06/2025 | 01:30 MYT
Adam merupakan salah seorang daripada 17 kanak-kanak Palestin yang cedera yang dibawa ke Itali bersama lebih 50 ahli keluarga mereka. - Foto REUTERS
MILAN: Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berusia 11 tahun yang kehilangan sembilan adik-beradiknya dalam serangan udara Israel di Gaza telah tiba di Milan, Itali, untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Adam Al-Najjar, yang mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang dan kerosakan saraf, disambut oleh Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, di Lapangan Terbang Linate sebelum dipindahkan ke Hospital Niguarda.
Adam tiba bersama ibunya, Dr. Alaa Al-Najjar, seorang pakar pediatrik.
Serangan pada 23 Mei lalu bukan sahaja meragut nyawa sembilan adik-beradiknya, tetapi juga bapanya, Dr. Hamdi Al-Najjar, yang meninggal dunia seminggu kemudian akibat kecederaan otak dan dalaman.
“Saraf di tangan kiri saya rosak, saya tidak dapat rasa jari-jari saya. Masih banyak kesakitan,” kata Adam kepada agensi berita Anadolu.
Adam merupakan salah seorang daripada 17 kanak-kanak Palestin yang cedera yang dibawa ke Itali bersama lebih 50 ahli keluarga mereka.
Mereka akan menerima rawatan di beberapa bandar termasuk Milan, Rome, Florence dan Bologna, sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan yang dikendalikan oleh kerajaan Itali.
Menurut UNICEF, lebih 15,000 kanak-kanak telah terbunuh dan lebih 34,000 cedera dalam hampir dua tahun konflik di Gaza.
Kerajaan Itali menyatakan bahawa ini adalah kumpulan ketiga yang dibawa masuk untuk rawatan, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit dari Gaza yang dirawat di Itali mencecah 150 orang setakat ini.
#Adam Al-Najjar #Gaza #rawatan #Israel