DUNIA

Kanak-kanak seawal usia 8 tahun sertai latihan ketenteraan di Rusia

Agensi 23/08/2025 | 22:30 MYT
Pelajar Sekolah Kadet Don Cossack Emperor Alexander III bersama anggota komuniti Cossack menjalani latihan ketenteraan di Wilayah Rostov, Rusia, baru-baru ini. - Gambar Reuters
ROSTOV, RUSIA: Bagi puluhan kanak-kanak sekolah di selatan Rusia, percutian musim panas mereka kali ini jauh berbeza daripada kebiasaan.

Dengan sorakan penyelia ketenteraan, seramai 83 peserta berusia antara 8 hingga 17 tahun menyertai “route march” di tebing Sungai Don, berlari dan merangkak di atas pasir serta meredah air cetek.

Sebahagian besar berpakaian seragam celoreng, ada yang memegang senjata sebenar, selebihnya pula membawa replika mainan.

Latihan itu dikendalikan oleh askar yang pernah berkhidmat di medan perang Ukraine, sebagai sebahagian usaha meluas Rusia memperkenalkan kemahiran asas ketenteraan kepada generasi muda.

Bagi Ivan Glushchenko, 8, pengalaman paling diingati adalah saat mereka melontar bom tangan dan melepaskan tembakan palsu.

“Kenapa saya di sini? Kerana saya mahu kaitkan masa depan saya dengan tentera. Saya mahu berkhidmat untuk negara dan kekal setia sehingga ke akhir,” kata Anton, salah seorang peserta remaja.

Rakannya, David, pula menganggap latihan itu sebagai peluang menguji ketahanan diri.

“Ia membuatkan saya tahu sejauh mana kekuatan mental saya.”

Pelajar Sekolah Kadet Don Cossack Emperor Alexander III dan anggota komuniti Cossack menjalani latihan ketenteraan di Wilayah Rostov, Rusia, baru-baru ini. - Gambar Reuters.



Bagaimanapun, pihak pengkritik termasuk badan hak kanak-kanak bebas “Ne Norma” menyifatkan latihan ala ketenteraan dan pengajaran mengendalikan senjata di sekolah sebagai bentuk indoktrinasi serta propaganda.

Pihak berkuasa Rusia sebaliknya mempertahankan langkah itu sebagai usaha memupuk semangat patriotik dan ketahanan nasional.

Antara jurulatih yang terlibat ialah Alexander Shopin, seorang tentera Rusia yang cedera di Ukraine dan kini menunggu pembedahan.

Menariknya, anak perempuannya sendiri turut serta dalam latihan itu.

“Bukan kali pertama saya sertai latihan ini. Saya suka kerana dapat berkongsi pengalaman dengan kanak-kanak. Kita dapat lihat bagaimana mereka terbentuk sebagai satu keluarga,” jelasnya.

Anaknya mengakui, latihan itu mencabar tetapi menyeronokkan, terutama apabila dapat berlari sebagai satu pasukan tanpa meninggalkan rakan di belakang.

Selesai latihan, sebahagian peserta jelas teruja. “Saya rasa macam hampir mati!” jerit seorang remaja perempuan. “Kami buat larian tiga kali!” sahut rakannya sambil berpelukan.

Bagi jurulatih lain, Vladimir Yanenko, program ini memberi manfaat besar kepada kanak-kanak.

“Latihan patriotik sangat penting. Mereka tidak lagi melepak di lorong-lorong belakang. Di sini, mereka lebih seronok dan pada masa sama mendapat ilmu dan kefahaman,” katanya. - Reuters







#Rusia #latihan ketenteraan #kanak-kanak 8 tahun #konflik Rusia-Ukraine