DUBAI/ISTANBUL: Sebuah kapal Korea Selatan yang rosak akibat kebakaran di Selat Hormuz baru-baru ini tiba di sebuah pelabuhan di Dubai pada Jumaat waktu tempatan bagi menjalani siasatan, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Yonhap.
HMM Namu, kapal kargo berbendera Panama yang dikendalikan syarikat perkapalan Korea Selatan, HMM Co. ditunda dari perairan berhampiran Umm Al Quwain di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Pelabuhan Dubai pada 12.20 tengah malam, empat hari selepas letupan dan kebakaran berlaku di atas kapal ketika ia terkandas di selat itu, menurut pegawai HMM dan sumber tempatan.
Pasukan kerajaan Korea Selatan telah dihantar untuk menyiasat punca letupan susulan dakwaan bercanggah sama ada kejadian itu berpunca daripada serangan Iran atau kerosakan dalaman.
Kerajaan Korea Selatan mengambil pendirian berhati-hati, manakala tiada bukti dilaporkan ditemukan setakat ini yang menunjukkan kejadian itu berpunca daripada serangan tentera.
Letupan berlaku pada Isnin, hari sama Amerika Syarikat (AS) melancarkan “Project Freedom” bagi membantu kapal-kapal yang terkandas melalui selat berkenaan ketika perang AS-Israel terhadap Iran masih berterusan.
Anak kapal berjaya memadamkan kebakaran kira-kira empat jam selepas ia tercetus.
Kapal itu membawa 24 anak kapal, termasuk enam warga Korea Selatan.
-- BERNAMA-YONHAP