[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Kapal misi flotila ke Gaza diserang dron lagi di Tunisia

Faida Rahim 10/09/2025 | 01:10 MYT
Sebuah lagi kapal bantuan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menuju ke Gaza dilaporkan berdepan serangan dron buat kali kedua di Tunisia. - Foto Instagram/Musa Nuwayri
TUNIS: Sebuah lagi kapal bantuan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menuju ke Gaza dilaporkan berdepan serangan dron buat kali kedua di Tunisia.

Salah sebuah bot dalam Konvoi Global Sumud ke Gaza, yang dinaiki peserta Musa Nuwayri bersama bot rakan-rakannya, Iylia Balqis dan Sul Aidil telah menjadi sasaran serangan dron pada Rabu.

“Alhamdulillah api berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

"Adakah ini akan melemahkan kami? Tidak sama sekali!," katanya.

Dalam satu hantaran lain di media sosial oleh Yusuf Omar, dia memberitahu insiden terbaharu itu berlaku selepas satu serangan serupa dilaporkan berlaku di pelabuhan Tunisia semalam.

Menurut Yusuf, sebuah lagi kapal dalam Konvoi Global Sumud yang membawa bantuan ke Gaza dilaporkan telah mengalami serangan dron buat kali kedua, menyebabkan kebakaran di bahagian dek atas.

"Sebuat kapal lagi telah terkena. Malam kedua, serangan dron kedua," kata Yusuf menerusi laman media sosialnya.

Tambahnya lagi, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Konvoi GSF kini dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan misi tersebut.

Semalam, sebuah kapal utama dalam misi berkenaan didakwa diserang oleh dron di sebuah pelabuhan di Tunisia.

Menurut kenyataan GSF, bagaimanapun kesemua enam penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.

Difahamkan, kapal berdaftar di bawah bendera Portugal itu membawa jawatankuasa pemandu flotila dan mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran di dek utama dan ruang simpanan bawah dek.

Namun, Kementerian Dalam Negeri Tunisia menafikan laporan itu dan menyatakan bahawa tiada serangan berlaku di pelabuhan Sidi Bou Said, sebaliknya mendakwa kebakaran berpunca dari dalam kapal itu sendiri.






#Gaza #bantuan kemanusiaan #misi Global Sumud Flotilla GSF #serangan dron