SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berkata kapal pemusnah terbaharu negara itu akan menjadi sebahagian daripada sistem tindak balas nuklear Pyongyang dan berupaya melancarkan “serangan balas yang memusnahkan”, menurut laporan media rasmi KCNA pada Isnin.
Bagaimanapun, KCNA tidak menyatakan sama ada kapal perang berkenaan akan dilengkapi dengan senjata nuklear.
Kenyataan itu dibuat ketika Korea Utara memperhebat usaha memodenkan angkatan lautnya sebagai sebahagian daripada program perluasan keupayaan ketenteraan yang mampu membawa senjata nuklear.
Berucap pada majlis pentauliahan kapal pemusnah Kang Kon di bandar pelabuhan Wonsan pada Ahad, Kim berkata penempatan kapal tersebut di perairan timur Semenanjung Korea menghantar mesej jelas kepada pihak yang dianggap musuh oleh Pyongyang.
“Masa telah tiba untuk kita melaksanakan kedaulatan di laut dan di bawah permukaan laut,” kata Kim seperti dipetik KCNA.
Kapal pemusnah seberat 5,000 tan itu merupakan kapal kedua dalam kelas yang sama memasuki perkhidmatan selepas kapal pemusnah Choe Hyon ditauliahkan di pantai barat Korea Utara kira-kira tiga bulan lalu.
Kim berkata pembangunan keupayaan nuklear tentera laut Korea Utara sedang dipertingkatkan dan negara itu akan terus memperluas aset strategik yang paling berkuasa di kawasan perairan utama bagi mempertahankan kedaulatan maritim serta keselamatan serantau.
Beliau turut mengesahkan bahawa Kang Kon akan menjadi sebahagian daripada sistem tindak balas nuklear negara itu.
Walaupun KCNA tidak memperincikan sistem persenjataan yang akan dipasang pada Kang Kon, agensi berita itu memaklumkan kapal berkenaan dilengkapi sistem senjata yang sama seperti Choe Hyon.
Laporan terdahulu KCNA menyatakan kapal pemusnah kelas Choe Hyon mampu membawa pelbagai jenis peluru berpandu, termasuk yang menurut penganalisis berpotensi membawa peledak nuklear.
Dalam ucapannya, Kim turut memberi bayangan bahawa Korea Utara akan memperlihatkan satu lagi fasa pembangunan angkatan lautnya dalam tempoh lapan bulan akan datang, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
Beliau juga berkata pembinaan pangkalan tentera laut di pantai timur Korea Utara sedang berjalan, selain rancangan untuk mewujudkan unit tentera laut baharu dan membina pelbagai kelas kapal perang bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.