[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Kapal perang dikesan berhampiran kapal Global Sumud Flotilla menuju Gaza

Bernama 01/10/2025 | 05:50 MYT
Peserta yang menyertai misi kemanusiaan yang berada di atas kapal Alma bertindak membuang telefon bimbit mereka ke laut mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan. - Gambar fail/Bernama
ISTANBUL: Sebuah kapal perang dikesan awal Rabu berada berhampiran Global Sumud Flotilla yang sedang belayar menuju Gaza, ketika penganjur melaporkan keadaan berjaga-jaga di laut, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Kapal perang Israel menghampiri kapal utama flotila, Alma, sehingga lima kaki dan memutuskan komunikasi serta mematikan enjin sebelum beredar.
  • Hubungan komunikasi berjaya dipulihkan dan flotila kini berada kira-kira 121 batu nautika (225 km) dari Gaza untuk meneruskan misi mencabar sekatan Israel.
  • Peserta misi mematuhi protokol keselamatan termasuk membuang telefon bimbit ke laut ketika insiden berlaku.


Wartawan Al Jazeera yang berada di atas flotila itu berkata hubungan komunikasi dengan kapal Alma, iaitu kapal utama dalam misi flotila berjaya dipulihkan selepas terputus seketika.

Menurutnya, sebuah kapal Israel menghampiri Alma sehingga kira-kira lima kaki dan menyekat semua sistem komunikasi serta enjinnya, menyebabkan ia tidak berfungsi.

Peserta di atas Alma bertindak membuang telefon bimbit mereka ke laut mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan.

Wartawan itu kemudian melaporkan bahawa kapal Israel berkenaan telah meninggalkan kawasan berkenaan, membolehkan flotila meneruskan pelayaran.

Flotila yang belayar bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza itu memaklumkan kapal-kapal mereka kini berada kira-kira 121 batu nautika (225 kilometer) dari wilayah yang dikepung itu.

-- BERNAMA




#Sumud Flotilla Tracker #Sumud Nusantara Tracker #Berita Terkini Global Sumud Flotilla #kapal flotila Alma ke Gaza