[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Kata Netanyahu, Israel 'benarkan' penduduk Palestin tinggalkan Gaza

Agensi 13/08/2025 | 00:10 MYT
Menurut Netanyahu, Israel akan membenarkan penduduk Palestin meninggalkan Semenanjung Gaza ketika tenteranya bersiap sedia melancarkan penaklukan lebih besar di wilayah berkenaan. - Gambar Reuters
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa berkata, pihaknya akan membenarkan penduduk Palestin meninggalkan Semenanjung Gaza ketika tentera bersiap sedia melancarkan penaklukan lebih besar di wilayah berkenaan.

Kenyataan itu dibuat ketika cadangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke luar wilayah yang dilanda perang termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin dan kecaman masyarakat antarabangsa.

Dalam temu bual bersama penyiar Israel, i24NEWS, Netanyahu menegaskan: “Kami tidak mengusir mereka (penduduk Palestin), tetapi kami membenarkan mereka pergi.”

“Beri mereka peluang untuk keluar... pertama sekali dari zon pertempuran dan secara umum meninggalkan wilayah ini, jika mereka mahu,” katanya, merujuk kepada perpindahan pelarian semasa perang di Syria, Ukraine dan Afghanistan.

Gaza sebelum ini berdepan kawalan ketat Israel selama bertahun-tahun termasuk sekatan keluar masuk penduduk.

“Kami akan membenarkan ini, pertama sekali dalam Gaza semasa pertempuran dan kami pasti akan membenarkan mereka keluar dari Gaza juga,” katanya.

Bagi rakyat Palestin, sebarang usaha untuk memaksa mereka meninggalkan tanah sendiri mengimbau kembali peristiwa “Nakba” - bencana besar yang menyaksikan pemindahan besar-besaran rakyat Palestin semasa penubuhan Israel pada 1948.

Nakba akan sentiasa dikenang sebagai tragedi memilukan kepada rakyat Palestin.

Berlaku semasa Perang Arab–Israel 1948, Nakba menyebabkan lebih 700,000 rakyat Palestin diusir atau melarikan diri dari kampung halaman mereka akibat peperangan dan pengusiran oleh pasukan Zionis.

Tidak cukup itu, ratusan kampung Palestin dimusnahkan atau diambil alih dan penduduknya tidak dibenarkan pulang.

Bagi rakyat Palestin, Nakba menjadi simbol kehilangan tanah air, hak kembali dan penderitaan berpanjangan sehingga kini.

Israel pula melihat peristiwa itu sebagai sebahagian daripada “Perang Kemerdekaan” mereka.

Awal tahun ini, Trump mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mencadangkan AS mengambil alih Gaza dan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.

Netanyahu sebelum ini turut berkata, pemerintahannya sedang mencari negara ketiga untuk menerima penduduk Gaza, susulan cadangan Trump supaya mereka diusir dan wilayah itu dibangunkan semula sebagai destinasi pelancongan.

Menteri-menteri sayap kanan dalam gabungan Netanyahu turut menggesa pemindahan “secara sukarela” penduduk Palestin dari Gaza.

Minggu lalu, Kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan memperluas perang ke kawasan Gaza yang masih belum dikuasai tentera.

Majoriti besar penduduk Gaza telah berpindah sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023. - Agensi





#Benjamin Netanyahu #penduduk Palestin #tinggalkan Gaza #Israel mahu kuasai Gaza