Kawasaki: WHO gesa doktor fahami, lakukan intervensi rawatan

Astro Awani
Mei 16, 2020 03:50 MYT
Tedros meminta semua doktor seluruh dunia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara masing-masing dan WHO agar mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih memahami sindrom ini pada kanak-kanak. - Gambar fail
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengeluarkan ringkasan saintifik tentang Kawasaki atau sindrom keradangan multi-sistem yang terjadi pada kanak-kanak, yang dikaitkan dengan COVID-19.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, penting untuk mendeskripsikan sindrom klinikal ini dengan segera dan berhati-hati agar dapat difahami sebab serta akibatnya, dalam proses membangunkan intervensi rawatan.
"Sejak beberapa minggu ini, laporan dari Eropah dan Amerika Utara telah menggambarkan sebilangan kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan keadaan kerandangan multi-sistem dengan beberapa ciri mirip dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.
"Laporan awal membuat hipotesis bahawa sindrom ini mungkin berkaitan dengan COVID-19. Sangat penting untuk mencirikan sindrom klinikal ini segera dan berhati-hati, untuk memahami sebab-akibat dan menerangkan intervensi rawatan.
"Bersama rangkaian klinikal global kami untuk COVID-19, WHO telah membuat definisi awal kes itu dan mengeluarkan borang laporan kes untuk sindrom keradangan multi-sistem pada kanak-kanak ini," katanya pada Jumaat.
Tedros meminta semua doktor seluruh dunia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara masing-masing dan WHO agar mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih memahami sindrom ini pada kanak-kanak.
Sementara itu, doktor di Britain, Itali dan Sepanyol telah diminta untuk melihat keadaan keradangan yang jarang berlaku kepada kanak-kanak ini.
Bulan lalu, Persatuan Penjagaan Rapi Pediatrik Britain mengeluarkan amaran kepada para doktor terdapat peningkatan jumlah kanak-kanak dengan keadaan radang multi-sistem yang memerlukan rawatan intensif di seluruh negara.
Kumpulan itu melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan salah satu sindrom berkaitan dengan COVID-19 dikesan pada kanak-kanak atau penyakit lain yang tidak dikenal pasti menjadi punca.
#Britain #Europe #intervensi #Itali #Kanak-kanak #Kawasaki #klinikal #koronavirus #sepanyol #sindrom #WHO