INTERNATIONAL
KazanForum 2025: Malaysia sedia main peranan strategik seiring perkembangan koridor utara-selatan

Forum Ekonomi Antarabangsa XVI 'Russia - Islamic World: KazanForum' 2025, yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 18 Mei di Kazan, Rusia bakal menjadi platform penting dalam membentuk masa depan Koridor Utara-Selatan.
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi meraih manfaat besar seiring perluasan Koridor Pengangkutan Antarabangsa Utara-Selatan (ITC) yang dijangka mengubah landskap logistik pengangkutan di seluruh benua Eurasia mulai 2025.
Perkembangan itu berlaku ketika Rusia bersiap sedia melancarkan projek nasional berskala besar selama lima tahun bertajuk "Efficient Transport System" , yang bertujuan meningkatkan kelajuan, jumlah serta kebolehpercayaan pergerakan kargo di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Projek terbabit dijangka mewujudkan rangkaian pengangkutan serantau yang lancar dengan keupayaan infrastruktur dan kesalinghubungan logistik yang dipertingkat, sekali gus memberi impak langsung kepada hubungan dagangan dari Eropah ke Asia Selatan dan Tenggara.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada menaiktaraf komponen utama koridor pengangkutan antarabangsa, khususnya ITC Utara-Selatan.Antara objektifnya termasuk mengurangkan masa pemeriksaan kargo kepada hanya 10 minit dan meningkatkan kapasiti trafik keseluruhan sebanyak 1.5 kali ganda. Kapasiti kargo kereta api Rusia dijangka meningkat daripada 173 juta tan kepada 210 juta tan menjelang 2030, dan kepada 270 juta tan menjelang 2032.
Maklumat itu diumumkan melalui siaran media oleh perkhidmatan akhbar luaran Forum Ekonomi Antarabangsa "Russia - Islamic World: KazanForum" 2025.
Siaran itu, yang disediakan kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama menjelaskan bagaimana Malaysia serta negara-negara lain di Selatan Global dapat memanfaatkan potensi transformasi perdagangan yang dibawa oleh ITC Utara-Selatan merentasi Eurasia.
Projek Rel Resht-Astara Lengkapkan Laluan Barat
Satu kemajuan penting ialah pembinaan bahagian kereta api Resht-Astara yang telah lama dinantikan, melengkapkan sambungan penting dalam cabang barat koridor yang mengelilingi Laut Caspian.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov mengesahkan projek itu akan dibiayai melalui kredit eksport Rusia susulan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Abbas Araqchi pada Februari 2025.
Sambungan kereta api itu bakal menghubungkan Rusia, Azerbaijan dan Iran, sekali gus melancarkan pergerakan kargo dari Eropah Utara ke Teluk Parsi dan Asia Selatan. Operasi penuh dijangka bermula menjelang 2028.
Azerbaijan turut meratifikasi perjanjian antara kerajaan baharu dengan Rusia untuk meningkatkan kerjasama transit kargo.
Perbincangan turut berlangsung bagi membina laluan kereta api alternatif antara Imishli di Azerbaijan dan Parsabad di Iran, yang berpotensi mengendalikan sehingga 30 juta tan kargo menjelang 2030 termasuk bijirin, logam, baja, arang batu dan produk petrokimia.
Satu platform digital sedang dibangunkan untuk mengurus operasi logistik, dengan penyertaan aktif dari Rusia.
Sementara itu, usaha memperkukuh laluan timur koridor juga semakin rancak.
Pada Januari 2025, wakil kereta api negara Kazakhstan, Turkmenistan, Rusia dan Iran bertemu bagi membincangkan struktur tarif baharu yang lebih kompetitif.
Ini susulan pelan tindakan yang ditandatangani pada 2024 untuk menyelaraskan pembangunan infrastruktur. Kapasiti laluan timur dijangka meningkat daripada 10 juta tan kepada 15 juta tan menjelang 2027 dan kepada 20 juta tan menjelang 2030.
Satu lagi keutamaan ialah integrasi ITC Utara-Selatan dengan Koridor Trans-Afghan melalui sambungan rel baharu.
Laluan itu bakal membolehkan kargo dari Rusia dan negara CIS lain melalui Uzbekistan dan Afghanistan, seterusnya ke pelabuhan di Pakistan sebelum sampai ke Asia Tenggara.
Rangkaian baharu berkenaan dijangka melengkapi laluan dagangan China ke Eropah dan Asia Selatan, justeru memperkukuh kesalinghubungan logistik serantau.
Koridor Kurangkan Masa dan Kos Penghantaran Kargo Eurasia
ITC Utara-Selatan merentasi kira-kira 7,200 kilometer dan menghubungkan pelabuhan Rusia di Laut Baltik dengan terminal di Teluk Parsi, India.
Ia terdiri daripada tiga laluan utama: laluan trans-Caspian, laluan barat melalui Azerbaijan, dan laluan timur melalui Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.
Menurut pakar di KazanForum 2024, koridor itu menawarkan kelebihan daya saing dari segi kelajuan dan kos.
Penghantaran kargo dari St. Petersburg ke Mumbai boleh disingkatkan kepada hanya 10 hingga 20 hari, berbanding 30 hingga 45 hari melalui laluan laut tradisional.
Kos pengangkutan juga dijangka berkurang antara 30 hingga 40 peratus.
Dengan pengembangan koridor kini memasuki fasa aktif, penyertaan dari Asia Selatan dan Teluk Parsi dijangka semakin meningkat.
Bagi negara seperti Malaysia, perkembangan ini membuka ruang untuk menyertai rangkaian perdagangan yang lebih cepat dan menjimatkan kos yang menghubungkan Eropah, Asia Tengah dan Asia Selatan.
Tumpuan Terhadap KazanForum 2025
Forum Ekonomi Antarabangsa XVI "Russia - Islamic World: KazanForum" 2025, yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 18 Mei di Kazan, Rusia bakal menjadi platform penting dalam membentuk masa depan Koridor Utara-Selatan.
Forum itu diberikan status persekutuan sejak 2023 dan kini menjadi antara acara antarabangsa utama di Rusia, berfungsi sebagai medan interaksi perniagaan antara Rusia dan dunia Islam.
KazanForum bertujuan mengukuhkan hubungan dagangan, saintifik, pendidikan dan kebudayaan antara wilayah Rusia dan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Tema utama bagi 2025 merangkumi kerjasama antarabangsa, perniagaan, kewangan Islam, industri halal, logistik, teknologi maklumat, pembinaan, perubatan, pendidikan dan pelancongan.
Mesyuarat peringkat menteri dan pemeteraian perjanjian baharu berhubung ITC Utara-Selatan dijangka menjadi antara kemuncak forum, selain persidangan logistik pengangkutan melibatkan negara peserta.
Seiring pengukuhan peranan koridor ini sebagai paksi utama perdagangan global, Malaysia dan ekonomi pesat membangun lain berpeluang meneroka laluan baharu untuk kerjasama perdagangan dan strategik menerusi penyertaan lebih mendalam dalam rangkaian pengangkutan yang sedang berkembang pesat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami