INTERNATIONAL
KDNK global mungkin susut 40 peratus menjelang 2100 jika suhu meningkat 4 darjah Celsius - Kajian
Unjuran yang disemak semula ini mengukuhkan keperluan untuk mengehadkan pemanasan kepada 1.7 darjah Celsius. - Gambar hiasan/BERNAMA
SYDNEY: Satu ramalan ekonomi baharu mengunjurkan peningkatan suhu global sebanyak empat darjah Celsius boleh menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia susut sebanyak 40 peratus menjelang 2100, jauh lebih tinggi berbanding anggaran sebelumnya iaitu hanya 11 peratus, menurut University of New South Wales (UNSW) pada Selasa, lapor Xinhua.
Penemuan oleh Institut Risiko Iklim dan Respons (ICRR) UNSW itu mencabar model ekonomi sedia ada yang membentuk dasar iklim global, sekali gus menegaskan keperluan untuk tindakan iklim yang lebih tegas.
Ketua Penyelidik Timothy Neal berkata model ekonomi sebelum ini gagal mengambil kira gangguan rantaian bekalan akibat kejadian cuaca ekstrem. Kebiasaannya, ahli ekonomi menilai kerosakan iklim dengan membandingkan kejadian cuaca terdahulu dengan pertumbuhan ekonomi tanpa mengambil kira kesalinghubungan global dalam ekonomi moden.
"Oleh kerana kerosakan ini tidak dimasukkan dalam perhitungan, model ekonomi terdahulu secara tidak sengaja menyimpulkan bahawa walaupun perubahan iklim yang teruk, ia bukan masalah besar kepada ekonomi," kata Neal, sambil menambah bahawa gangguan di satu wilayah akan memberi kesan kepada rantaian bekalan global, termasuk negara-negara yang lebih sejuk seperti Kanada dan Rusia.
Hakikatnya, "tiada negara yang kebal," katanya.
Unjuran yang disemak semula ini mengukuhkan keperluan untuk mengehadkan pemanasan kepada 1.7 darjah Celsius, selari dengan sasaran penyahkarbonan yang lebih pantas seperti Perjanjian Paris dan jauh lebih rendah daripada ambang 2.7 darjah Celsius yang sebelum ini dianggap boleh diterima.
Neal berkata model ekonomi perlu berkembang selari dengan kesan iklim sebenar, termasuk kenaikan harga makanan dan lonjakan kos insurans.
--BERNAMA-XINHUA