[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Keamanan hanya retorik jika rakyat Palestin terus menderita - Wan Azizah

Pia Ernadya 10/09/2025 | 08:40 MYT
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, usaha keamanan akan menjadi kosong sekiranya dunia menutup mata terhadap realiti getir yang sedang berlaku di wilayah itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usaha membina keamanan dunia tidak bermakna jika penderitaan rakyat Palestin di Gaza terus diabaikan, termasuk kemusnahan sistematik terhadap pendidikan dan kemudahan kesihatan.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa keamanan dunia tidak bermakna jika penderitaan rakyat Palestin di Gaza terus diabaikan, termasuk kemusnahan sistematik terhadap pendidikan dan kesihatan.
  • Beliau menyatakan bahawa kebuluran digunakan sebagai senjata peperangan dan hospital turut dibedil, sambil menyeru sokongan terhadap Palestin dikekalkan serta kekejaman Israel dihentikan segera.
  • Dr Wan Azizah menyeru dunia agar membina masa depan yang aman dan adil untuk semua, termasuk kanak-kanak Palestin yang berhak menikmati keselamatan dan maruah.


Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, usaha keamanan akan menjadi kosong sekiranya dunia menutup mata terhadap realiti getir yang sedang berlaku di wilayah itu.

“Di sana, asas sesebuah masyarakat sedang dimusnahkan secara sistematik. Kita sedang menyaksikan scholasticide. Kemusnahan terancang sekolah dan universiti yang merampas hak satu generasi untuk mendapat pendidikan dan masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup ASEAN Women, Peace and Security Summit 2025 di ibu negara, hari ini.

Tambahnya, hospital yang sepatutnya menjadi pusat rawatan turut musnah dibedil, manakala kebuluran digunakan sebagai senjata peperangan.

Tegas Dr Wan Azizah, sokongan terhadap Palestin mesti kekal utuh, sambil mendesak penamatan segera kekejaman Israel.

“Ini bukan dunia yang kita inginkan untuk mana-mana anak, di mana-mana negara.

“Kita mesti menuntut pengakhiran terhadap kekejaman ini dan berkomitmen membina sebuah dunia di mana kanak-kanak Palestin juga dapat menikmati keamanan dan keselamatan,” katanya.



#Genosid Gaza #Wan Azizah Wan Ismail #kekejaman israel #ASEAN25