DUNIA

Kebakaran besar di lapangan terbang utama Bangladesh, operasi penerbangan digantung

Bernama 18/10/2025 | 13:09 MYT
Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut Bangladesh turut menyertai usaha memadam kebakaran, bersama dua platun Pasukan Pengawal Sempadan. - X @DDNewslive
DHAKA: Kebakaran besar berlaku di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di ibu negara Bangladesh, Dhaka, pada Sabtu, menyebabkan semua operasi penerbangan dan pendaratan digantung, lapor Anadolu Ajansi memetik siaran penyiar tempatan.

Asap tebal menyelubungi kawasan sekitar, khususnya di bahagian kargo tempat barangan import disimpan.

Menurut Pusat Media Perkhidmatan Bomba Bangladesh, 36 unit anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan api, manakala lima lagi unit sedang dalam perjalanan bagi membantu operasi.

Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut Bangladesh turut menyertai usaha memadam kebakaran, bersama dua platun Pasukan Pengawal Sempadan.

Laporan televisyen tempatan menyatakan beberapa individu termasuk anggota bomba cedera ketika operasi menyelamat dijalankan.

Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kecederaan belum didedahkan. Stesen televisyen Channel24 yang memetik pengawal keselamatan berkata sejumlah besar pakaian dan barangan lain disimpan di kawasan tersebut.

Letupan beberapa tin kimia turut kedengaran dan menyebabkan api marak dengan pantas.

Insiden pada Sabtu itu berlaku hanya beberapa hari selepas dua kebakaran besar tercetus minggu ini- satu di sebuah kilang pakaian di kawasan Mirpur, Dhaka yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa, dan satu lagi di sebuah kilang di Zon Pemprosesan Eksport di Chattogram.

-- BERNAMA

#lapangan terbang #kebakaran #Bangladesh #penerbangan terjejas