Skip to main content

Dunia

Kebakaran di Indonesia hampir terkawal, 639 hektar masih terjejas

Indonesia berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah, dengan hanya 639.23 hektar masih memerlukan tindakan lanjut daripada hampir 130,000 hektar kawasan yang terjejas. - Gambar Sinar Harian
Indonesia berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah, dengan hanya 639.23 hektar masih memerlukan tindakan lanjut daripada hampir 130,000 hektar kawasan yang terjejas. - Gambar Sinar Harian

Advertisement

JAKARTA: Indonesia berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah, dengan hanya 639.23 hektar masih memerlukan tindakan lanjut daripada hampir 130,000 hektar kawasan yang terjejas.

Presiden Prabowo Subianto berkata, keluasan kawasan yang masih memerlukan operasi pemadaman kini berkurangan kepada kurang 1,000 hektar hasil usaha pemadaman yang menyeluruh meskipun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.

"Saya fikir tanpa campur tangan secara besar-besaran, kita tidak mungkin dapat menangani keadaan ini, terutama ketika kita bersiap sedia melaksanakan langkah mitigasi pada masa hadapan," kata beliau menerusi video yang dikeluarkan Sekretariat Presiden pada Selasa.

Data yang dibentangkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada mesyuarat Kabinet terhad yang dipengerusikan Prabowo pada Isnin menunjukkan operasi pemadaman telah selesai meliputi kawasan seluas 129,260.36 hektar, manakala baki 639.23 hektar masih memerlukan perhatian.

Kalimantan Tengah merekodkan baki kawasan kebakaran terbesar seluas 524.69 hektar, termasuk 513.89 hektar di Taman Negara Tanjung Puting, diikuti Jambi (81.50 hektar) dan Kalimantan Barat (16.34 hektar).

Menurut BNPB, operasi pemadaman secara besar-besaran itu melibatkan lebih 60,177 anggota daripada pelbagai agensi dengan sokongan operasi pengeboman air dari udara, sekali gus membolehkan lebih 80 peratus kawasan yang baharu terbakar dipadamkan secara purata setiap hari.

Bagi memperkukuh perlindungan hutan dalam tempoh jangka panjang, Prabowo turut mengulangi cadangannya untuk menambah jumlah anggota polis hutan Indonesia kepada 70,000 orang, dengan latihan berpotensi dibantu oleh pasukan polis atau tentera negara itu.

Sementara itu, Ketua BNPB, Suharyanto berkata, kebakaran di Taman Negara Tanjung Puting kekal menjadi kebimbangan utama, dengan anggota dan peralatan tambahan telah dikerahkan bagi menangani kebakaran di kawasan perlindungan berkenaan.

Beliau berkata, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan kekal sebagai wilayah paling mencabar, ketika pihak berkuasa bersiap sedia melaksanakan langkah modifikasi cuaca tambahan menjelang hujan yang diramal berlaku dari pertengahan Oktober hingga November.

Panglima Tentera Kalimantan Tengah, Mejar Jeneral Zainul Arifin berkata, operasi pemadaman di Taman Negara Tanjung Puting amat mencabar berikutan lokasi kebakaran yang bertaburan, keadaan muka bumi berpaya serta ancaman hidupan liar berbahaya.

"Lokasi kebakaran bertaburan di kawasan yang luas dan keadaan muka bumi pula berpaya.

“Terdapat juga haiwan berbahaya termasuk buaya dan ular, jadi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan anggota," katanya pada mesyuarat itu.

Zainul turut memaklumkan bahawa operasi pemadaman berdepan kekurangan pam air mudah alih kerana beberapa kawasan terjejas tidak dapat diakses menggunakan kenderaan, manakala peralatan sedia ada masih digunakan bagi kerja penyejukan di lokasi lain.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement