GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Kebakaran di kilang penapisan Chevron Los Angeles berjaya dikawal, siasatan dilancarkan

Bernama 04/10/2025 | 03:50 MYT
Api kelihatan marak menjulang susulan kebakaran di loji penapisan minyak Chevron di El Segundo, daerah Los Angeles, pada Khamis malam. (Foto AP)
LOS ANGELES: Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang tercetus pada malam Khamis di loji penapisan minyak Chevron di El Segundo, daerah Los Angeles, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

Kebakaran bermula sekitar 9 malam Khamis dan api dilaporkan kelihatan dari jauh di kawasan South Bay.

Pihak berkuasa memaklumkan tiada ancaman terhadap orang awam.

"Semua kakitangan dan kontraktor di loji penapisan telah dikenal pasti dan tiada kecederaan dilaporkan," menurut kenyataan Chevron.

Tiada arahan pemindahan dikeluarkan kepada penduduk berdekatan, malah sistem pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan loji tidak mengesan sebarang pencemaran melebihi paras selamat, menurut kenyataan itu.

Siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan.

Gabenor California Gavin Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass berkata mereka telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan sedang memantau perkembangannya dengan teliti.

Pejabat gabenor juga memaklumkan pihaknya sedang menyelaras secara langsung dengan agensi tempatan dan negeri bagi melindungi komuniti serta memastikan keselamatan awam.

Menurut laman sesawang Chevron, loji penapisan El Segundo yang dibina pada 1911 merupakan kilang penapisan minyak terbesar syarikat di Pantai Barat Amerika Syarikat, dengan kapasiti memproses lebih 276,000 tong minyak mentah sehari.

-- BERNAMA

#kebakaran #kilang #Chevron #Los Angeles