Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan besar selatan Paris disyaki angkara perbuatan khianat

Firefighting crews work to contain wildfires at the Fontainebleau forest, in Acheres-la-Foret, as a heatwave affects large parts of France, July 13, 2026. REUTERS/Stephane Mahe
Pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran hutan di Hutan Fontainebleau, Acheres-la-Foret, ketika gelombang haba melanda sebahagian besar wilayah Perancis. - Foto REUTERS
Advertisement

PARIS: Pihak berkuasa Perancis sedang berusaha mengawal kebakaran hutan besar yang terus marak di Hutan Fontainebleau, selatan Paris, memasuki hari kedua, dengan Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, menyatakan kebakaran itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat.

Kebakaran yang disifatkan sebagai “ganas” serta berskala luar biasa itu telah memusnahkan kira-kira 800 hektar kawasan hutan, selain menyebabkan sebahagian lebuh raya utama yang menghubungkan utara dan selatan Perancis ditutup.

Nunez berkata siasatan awal mendapati terdapat kira-kira 10 titik permulaan kebakaran dalam lingkungan satu kilometer, sekali gus menimbulkan syak bahawa kebakaran tersebut mungkin sengaja dicetuskan.

“Terdapat kira-kira 10 titik pencetus kebakaran dalam perimeter 1,000 meter, yang menunjukkan kemungkinan ia dilakukan dengan sengaja,” katanya seperti dipetik agensi berita AFP.

Menurut beliau, dua individu telah ditahan berhubung kebakaran di Fontainebleau, manakala seramai 59 orang ditahan di seluruh negara berkaitan pelbagai insiden kebakaran.

Kejadian itu berlaku ketika wilayah Paris sedang mengalami gelombang haba ketiga tahun ini, selepas beberapa negara Eropah mencatatkan rekod suhu tertinggi sepanjang musim panas.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan kebakaran di Hutan Fontainebleau sebagai bencana berskala luar biasa dan memberi jaminan bahawa semua sumber yang tersedia sedang digerakkan bagi memerangi kebakaran tersebut.

“Hutan Fontainebleau telah dilanda kebakaran yang berskala luar biasa. Semua sumber yang ada sedang dikerahkan,” katanya menerusi media sosial.

Beliau turut menyatakan solidariti kepada penduduk setempat serta memuji usaha anggota bomba yang bertungkus-lumus mengawal api.

Menurut Persekutuan Bomba Kebangsaan Perancis, ini merupakan kali pertama pesawat pemadam kebakaran dari selatan negara itu dihantar ke wilayah Paris untuk membantu operasi memadam kebakaran.

Jurucakapnya, Eric Brocardi, berkata dua helikopter pemadam kebakaran dan sebuah pesawat pemantauan turut dikerahkan ke lokasi.

“Matlamat utama adalah menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

Kebakaran tersebut turut memberi kesan kepada rangkaian pengangkutan negara.

Sebelum ini, satu lagi kebakaran berhampiran Paris menyebabkan laluan lebuh raya ke arah timur ditutup dan mengganggu perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi ke selatan Perancis.

Syarikat kereta api nasional SNCF memaklumkan penumpang yang menggunakan stesen Gare de Lyon di Paris berdepan kelewatan sehingga enam jam bagi perjalanan masuk dan keluar dari ibu negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Keselamatan Awam Perancis, Julien Marion, berkata kebakaran hutan telah memusnahkan kira-kira 25,000 hektar tanah di negara itu sejak awal tahun ini.

Gelombang haba yang sedang melanda Perancis turut memaksa tiga loji tenaga nuklear ditutup sementara bagi mengelakkan pelepasan air penyejuk panas ke dalam sungai yang sudah mencatat suhu tinggi.

Penganjur perlumbaan berbasikal Tour de France pula mengambil langkah memendekkan laluan perlumbaan sejauh 30 kilometer pada Ahad apabila suhu menghampiri 40 darjah Celsius.

Pakar iklim menyatakan perubahan iklim terus menjadi faktor utama peningkatan suhu global.

Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, Eropah merupakan benua yang mengalami kadar pemanasan paling pantas, iaitu dua kali ganda lebih cepat berbanding purata global.

Keadaan itu menyumbang kepada peningkatan kejadian gelombang haba ekstrem, tekanan terhadap sumber air serta kebakaran hutan yang semakin kerap dan sukar dikawal.

Musim panas tahun ini turut menyaksikan beberapa kebakaran besar di seluruh Eropah, termasuk di Sepanyol, apabila sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan maut dalam kebakaran hutan di Almeria, antara yang paling dahsyat dalam sejarah negara itu.

Di United Kingdom pula, perkhidmatan kecemasan mengisytiharkan insiden besar susulan kebakaran hutan yang melanda utara Wales, sementara anggota bomba terus bertungkus-lumus memadam kebakaran di beberapa kawasan di England dan Wales.
 

 

Must Watch Video

Advertisement