JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan dua helikopter pemadam kebakaran bagi membantu mengawal kebakaran hutan di Gunung Bromo yang merebak ke kawasan seluas kira-kira 60 hektar di kaunti Probolinggo dan Malang, Jawa Timur.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata kebakaran yang berlaku sejak Isnin itu telah memusnahkan kira-kira 10 hektar kawasan di Kaunti Probolinggo dan 50 hektar lagi di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Kaunti Malang yang berjiran.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"BNPB telah mengerahkan dua helikopter pengebom air bagi membantu memadamkan titik panas yang terletak di cerun curam dan sukar diakses oleh pasukan darat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Muhari berkata sebahagian besar kebakaran berjaya dikawal menjelang petang Rabu, namun beberapa titik panas masih aktif di kawasan curam dan sukar diakses. Pasukan kecemasan terus memantau dan memadamkan kebakaran di lokasi berkenaan.
Beliau berkata BNPB turut membuat persiapan untuk melaksanakan Operasi Pengubahsuaian Cuaca, tertakluk kepada keadaan cuaca, bagi melengkapi operasi pemadaman yang sedang dijalankan oleh pasukan tindak balas kecemasan bersama.
Pihak Berkuasa Taman Negara Bromo Tengger Semeru mengekalkan penutupan sementara sebahagian kawasan pelancongan Gunung Bromo sehingga dimaklumkan kelak bagi memudahkan operasi pemadaman dan menjamin keselamatan orang ramai.
Pihak berkuasa tempatan sebelum ini memaklumkan bahawa kebakaran itu dipercayai berpunca daripada unggun api yang ditinggalkan pendaki, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
-- BERNAMA