Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan di Gunung Bromo merebak hingga 520 hektar

Pasukan kecemasan bersama menjalankan operasi pemadaman kebakaran darat menggunakan pemukul api dan penyembur galas di Daerah Sukapura, Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur, pada Rabu.
Rudijanta berkata keadaan rumput dan tumbuh-tumbuhan lain yang telah kering menjadikan kawasan itu lebih mudah terbakar. - Gambar fail/BPBD Wilayah Jawa Timur
Advertisement

JAKARTA: Kebakaran hutan di Gunung Bromo merebak ke kawasan seluas kira-kira 520 hektar selepas angin kencang mempercepat penyebaran api di lereng dan kawasan savana gunung itu di Jawa Timur, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Ketua Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Rudijanta Tjahja Nugraha berkata keluasan kawasan terjejas bertambah selepas api kembali marak pada Sabtu malam, membakar bukan sahaja lereng gunung, malah kawasan savana.

"Kebakaran menjadi lebih besar akibat angin yang bertiup agak kencang sejak petang semalam, menyebabkan api merebak dengan pantas dari lereng bahagian atas ke kawasan yang lebih rendah," katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Antara.

Rudijanta berkata keadaan rumput dan tumbuh-tumbuhan lain yang telah kering menjadikan kawasan itu lebih mudah terbakar.

Pihak TNBTS menutup Gunung Bromo kepada pelancong di semua pintu masuk bermula 10 malam Sabtu sehingga dimaklumkan kelak bagi memudahkan usaha pemadaman kebakaran dan menjamin keselamatan pengunjung. 

Pengunjung yang terjejas diberi pilihan untuk menjadualkan semula tempahan atau menerima bayaran balik.

Sementara itu, Menteri Kehutanan Raja Juli Antoni berkata siasatan berhubung punca kebakaran itu diserahkan kepada agensi penguat kuasa.

"Sesiapa yang melakukan pembakaran hutan dan tanah akan menerima hukuman sewajarnya," katanya menurut Antara.

Pihak TNBTS pada Jumaat memaklumkan bahawa kebakaran di Gunung Bromo dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement