Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Kebakaran hutan di Sepanyol cetus pelepasan karbon tertinggi sejak 2003 - Copernicus

Bernama 20/08/2025 | 08:28 MYT
Hanya dalam beberapa hari, aktiviti kebakaran luar biasa melonjakkan jumlah pelepasan karbon terkumpul ke paras tertinggi. - Reuters
MOSCOW: Kebakaran hutan di Sepanyol menyebabkan pelepasan karbon tertinggi di negara itu dalam tempoh 23 tahun, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik data daripada perkhidmatan pemantauan perubahan iklim Eropah, Copernicus.

Pada awal Ogos, jumlah pelepasan karbon terkumpul akibat kebakaran hutan di Sepanyol masih berada di bawah purata bermusim. Namun, hanya dalam beberapa hari, aktiviti kebakaran yang luar biasa melonjakkan angka itu ke paras tertinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut data yang dikeluarkan pada Selasa.

Berdasarkan data daripada sistem Copernicus dan rangkaian pemantauan kualiti udara kebangsaan, asap kebakaran memburukkan keadaan alam sekitar di sebahagian besar negara itu. Kepekatan zarah PM2.5 didapati melebihi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam masa yang sama, awan abu bergerak hingga ratusan kilometer jauhnya ke Perancis, United Kingdom dan Scandinavia dan bergabung dengan asap dari kebakaran hutan di Kanada yang dibawa merentasi Lautan Atlantik.

-- BERNAMA

#kebakaran hutan #sepanyol #pelepasan karbon #perubahan iklim #Copernicus