Skip to main content

Dunia

Kebakaran Hutan: Indonesia hadkan akses pelancong ke Penanjakan di Gunung Bromo

Gunung Bromo di Jawa Timur. - Gambar fail
Gunung Bromo di Jawa Timur. - Gambar fail

Advertisement

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengehadkan akses pelancong ke Penanjakan, lokasi popular untuk menikmati panorama Gunung Bromo di Jawa Timur, susulan kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal di beberapa kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru.

Pihak berkuasa taman negara itu memaklumkan bahawa sekatan berkenaan berkuat kuasa mulai 9.30 malam waktu tempatan pada Sabtu, dengan perjalanan ke kawasan itu dihadkan setakat Lemah Pasar sehingga dimaklumkan kelak.

"Semua pelancong, pengendali pelancongan dan orang ramai digesa mematuhi sekatan berkenaan serta mengutamakan keselamatan semua pihak," menurut notis yang dimuat naik pihak berkuasa itu di media sosial.

Menurut pihak berkuasa berkenaan, kebakaran bermula berhampiran Pusung Dawa di Probolinggo pada 13 Okt lepas sebelum merebak ke kawasan taman negara itu.

Kebakaran berjaya dikawal pada keesokan harinya, namun api kembali marak pada 15 Okt, mengorbankan empat anggota bomba dan sukarelawan serta menyebabkan dua yang lain cedera parah.

Secara berasingan, Kementerian Kehutanan melaporkan sebanyak 270 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 9 malam Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 92 titik panas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement