[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Kebakaran hutan: Korea Selatan beri status pemastautin kepada 3 warga Indonesia

Bernama 06/04/2025 | 10:30 MYT
Rumah musnah terbakar akibat kebakaran hutan di Uiseong, Korea Selatan. - Gambar/ Reuters
SEOUL: Kerajaan Korea Selatan pada Ahad memutuskan untuk memberikan status pemastautin jangka panjang kepada tiga warga Indonesia yang membantu memindahkan warga emas semasa kebakaran hutan baru-baru ini di wilayah tenggara negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kementerian Kehakiman sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan visa F-2 kepada seorang kelasi Indonesia yang dikenali sebagai Sugianto kerana membantu menyelamatkan kira-kira 60 warga emas daripada kebakaran hutan di Daerah Uiseong, Wilayah Gyeongsang Utara.
Visa F-2 yang menjamin status pemastautin jangka panjang kepada pemegangnya boleh diberikan oleh menteri kehakiman kepada warga asing yang telah membuat "sumbangan khas" kepada Korea Selatan atau diiktiraf atas peranannya dalam mempromosikan kepentingan awam.
"(Kerajaan) telah memutuskan untuk memberikan status pemastautin untuk sumbangan khas kepada tiga warga Indonesia yang membantu memindahkan warga emas daripada kawasan kebakaran hutan," kata Timbalan Ketua Pusat Kawalan Bencana, Lee Han-kyung.
Selain Sugianto, maklumat mengenai dua lagi warga Indonesia berkenaan tidak didedahkan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #kebakaran hutan #warga Indonesia #status pemastautin