DUNIA

Kebakaran hutan musnahkan lebih 100,000 hektar di dua wilayah Afrika Selatan

Bernama 11/01/2026 | 04:00 MYT
Kebakaran menjejaskan seluruh wilayah Western Cape serta sebahagian kawasan jirannya, Eastern Cape. - Gambar/ Overstrand Municipality
CAPE TOWN: Beberapa kebakaran hutan terus marak di wilayah Western Cape dan Eastern Cape di Afrika Selatan pada Sabtu, dengan lebih 100,000 hektar tanah terbakar di Western Cape manakala proses pemindahan penduduk sedang giat dijalankan, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Lebih 100,000 hektar tanah terbakar di wilayah Western Cape dan Eastern Cape di Afrika Selatan menyebabkan proses pemindahan penduduk giat dilaksanakan.
  • Tiada kematian dilaporkan, tetapi seorang kanak-kanak perempuan dimasukkan ke hospital dan anggota bomba menerima rawatan akibat terhidu asap.
  • Majlis Perbandaran Mossel Bay dan Overstrand mengeluarkan kenyataan mengenai pemindahan penduduk dan keperluan keberwaspadaan akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan tersebut.


Ketua Menteri Western Cape Alan Winde memberitahu penyiar awam SABC pada pagi Sabtu bahawa kebakaran menjejaskan seluruh wilayah Western Cape serta sebahagian kawasan jirannya, Eastern Cape.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun seorang kanak-kanak perempuan dimasukkan ke hospital di Mossel Bay dan beberapa anggota bomba menerima rawatan akibat terhidu asap.

Winde berkata "lebih banyak helikopter daripada sebelum ini" telah dikerahkan untuk memadam kebakaran, termasuk sebuah helikopter tentera. Beliau menambah bahawa lebih 100,000 hektar tanah telah terbakar di seluruh wilayah itu, dengan kebanyakan kerosakan infrastruktur berlaku di Mossel Bay serta kawasan seperti Du Noon di Cape Town dan Pearly Beach.

Majlis Perbandaran Mossel Bay memaklumkan pada pagi Sabtu bahawa walaupun tiada kebakaran aktif di kawasan itu, semua pasukan akan "kekal berwaspada" berikutan keadaan cuaca kering dan berangin.

Majlis Perbandaran Overstrand mengeluarkan kenyataan mengenai pemindahan penduduk akibat kebakaran pada tengah hari Sabtu dengan menyatakan bahawa sumber pasukan pemadaman kebakaran berada di bawah tekanan besar susulan dua kebakaran aktif di kawasan berkenaan.

"Keutamaan utama adalah untuk menyelamatkan nyawa," kata Pengurus Majlis Perbandaran Overstrand Dean O'Neill dalam kenyataan itu.

Beliau juga menggesa penduduk di kawasan lain dalam perbandaran itu untuk kekal berjaga-jaga, memberi amaran bahawa "pemindahan mungkin diperlukan jika keadaan bertambah buruk".

Sementara itu, di wilayah Eastern Cape, Majlis Perbandaran Kouga - antara kawasan paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan menyatakan pada Sabtu bahawa pasukan bomba masih berusaha memadam beberapa kebakaran dan keadaan kekal tidak menentu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Jumaat, Ketua Menteri Eastern Cape Lubabalo Oscar Mabuyane menyuarakan "kebimbangan mendalam" terhadap kebakaran hutan yang melanda sebahagian wilayah itu, sambil menyatakan bahawa kejadian berlaku pada kemuncak musim pelancongan di Afrika Selatan dan menjejaskan destinasi pelancongan utama.

-- BERNAMA


#kebakaran hutan #Afrika Selatan #Western Cape #Eastern Cape