Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan: Pemerintah Indonesia telah gagal - Belgis Habiba

Jurukempen Hutan Greenpeace Indonesia, Belgis Habiba, berkata kebakaran hutan dan tanah gambut bukan fenomena yang tidak dapat dijangka kerana ia lazimnya berlaku antara Julai hingga Oktober setiap tahun. - Reuters/Abriansyah Liberto
Jurukempen Hutan Greenpeace Indonesia, Belgis Habiba, berkata kebakaran hutan dan tanah gambut bukan fenomena yang tidak dapat dijangka kerana ia lazimnya berlaku antara Julai hingga Oktober setiap tahun. - Reuters/Abriansyah Liberto

Advertisement

KUALA LUMPUR: Greenpeace Indonesia mendakwa pemerintah negara itu gagal menangani kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlarutan, susulan kelemahan langkah mitigasi, pencegahan awal serta penguatkuasaan terhadap syarikat yang bertanggungjawab.

Jurukempen Hutan Greenpeace Indonesia, Belgis Habiba, berkata kebakaran hutan dan tanah gambut bukan fenomena yang tidak dapat dijangka kerana ia lazimnya berlaku antara Julai hingga Oktober setiap tahun.

Beliau berkata pemerintah sepatutnya mengambil langkah pencegahan lebih awal, terutama apabila fenomena El Nino diramalkan berlaku pada 2026, selain keadaan landskap gambut yang masih mengalami kerosakan.

“Pada dasarnya, apabila kebakaran hutan dan tanah gambut berlaku, pemerintah Indonesia telah gagal melaksanakan mitigasi dan pencegahan.

“Kebakaran hutan dan tanah gambut ini bukan sesuatu yang tidak boleh diramalkan. Kejadian ini boleh dijangka lebih awal, apatah lagi kebakaran lazimnya berlaku antara Julai hingga Oktober,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.

Mengulas lanjut, Belgis berkata pemerintah Indonesia sebaliknya masih mengamalkan pendekatan seperti biasa dan hanya memberi tumpuan kepada penyediaan operasi pemadaman serta pengubahsuaian cuaca selepas kebakaran berlaku.

Menurutnya, antara langkah yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal termasuk mempercepat pemulihan landskap gambut, menilai semula semua permit syarikat yang beroperasi di kawasan berkenaan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Beliau berkata pemerintah Indonesia sebelum ini pernah mengenakan sekatan terhadap beberapa syarikat susulan kebakaran terdahulu, namun masih terdapat syarikat yang belum melunaskan penalti dikenakan.

“Apabila kebakaran besar berlaku dan kesannya meluas hingga ke Malaysia, Singapura serta negara ASEAN lain, Indonesia hari ini telah gagal.

“Pemerintah hanya memikirkan bagaimana untuk memadamkan api, sedangkan situasi ini sepatutnya boleh dikurangkan melalui langkah mitigasi lebih awal,” ujarnya lagi.

Belgis berkata keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan apabila Indonesia belum menerima tawaran bantuan daripada beberapa negara, dengan alasan negara itu masih berupaya menangani kebakaran berkenaan sendiri.

Beliau mendakwa keadaan itu menyebabkan masyarakat terjejas terpaksa berdepan pencemaran asap kebakaran gambut untuk tempoh yang panjang.

Jerebu perlu diisytihar bencana nasional

Dalam pada itu, Belgis menggesa pemerintah Indonesia mengisytiharkan jerebu sebagai bencana nasional bagi memastikan isu itu diberikan keutamaan dan membuka ruang kepada bantuan serta solidariti antarabangsa.

Beliau menjelaskan pemerintah juga perlu mendedahkan data berkaitan kebakaran hutan dan jerebu secara telus supaya masyarakat serta negara lain dapat memantau perkembangan situasi berkenaan.

Menurutnya, ketelusan data penting bagi mengenal pasti syarikat yang terlibat, lokasi kebakaran serta kaitan kawasan terbakar dengan konsesi perniagaan, termasuk syarikat yang mempunyai hubungan dengan Malaysia dan Singapura.

“Pendedahan data membolehkan masyarakat memainkan peranan dalam pemantauan, selain memberi peluang kepada negara seperti Malaysia dan Singapura untuk turut meneliti syarikat yang mempunyai kaitan dengan negara mereka serta mengambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Beliau berkata kerjasama serantau juga perlu diperkukuh melalui mekanisme ASEAN bagi memastikan tanggungjawab negara dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan dilaksanakan dengan berkesan.

ASEAN juga, katanya perlu memperkukuh komitmen negara anggota untuk mengintegrasikan hak terhadap alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan dalam kerangka kerjasama serantau serta perundangan masing-masing.

"Komitmen undang-undang di peringkat nasional dan serantau perlu dipertingkat bagi memastikan tindakan terhadap kebakaran hutan dan jerebu bukan sekadar tertumpu kepada pemadaman api, tetapi turut melibatkan pencegahan, akauntabiliti dan perlindungan masyarakat," tambahnya.

Bantuan kesihatan perlu diperkukuh

Mengulas bantuan kepada penduduk yang terjejas, Belgis berkata kerajaan perlu menjamin akses kepada kemudahan kesihatan, khususnya bagi masyarakat di kawasan yang sukar mendapatkan rawatan.

Beliau berkata walaupun Kementerian Kesihatan Indonesia telah menggesa orang ramai mengurangkan aktiviti di luar rumah dan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian, langkah itu perlu disertai bantuan serta perlindungan yang lebih menyeluruh.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan ialah memperkukuh kemudahan kesihatan di peringkat paling kecil, termasuk di desa, kerana tidak semua kawasan di Indonesia mempunyai akses yang baik kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kerajaan juga sepatutnya mengutamakan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, ibu menyusukan anak dan orang kurang upaya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement