Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Kebakaran hutan: Turkiye pindahkan penduduk kampung, kerah 6 pesawat

Bernama 16/08/2025 | 13:45 MYT
Usaha memadam kebakaran sedang dijalankan dari udara dan darat, melibatkan enam pesawat, 10 helikopter, 75 jentera dan 200 anggota. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Kebakaran hutan di Kocaeli, barat laut Turkiye pada Jumaat menyebabkan pemindahan penduduk sebuah kampung apabila api menghampiri kediaman mereka, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.

Kebakaran itu bermula sekitar tengah hari di daerah Karamursel dan merebak dengan cepat akibat tiupan angin kencang.

Pejabat Gabenor Kocaeli dalam kenyataan di media sosial memaklumkan bahawa penduduk kampung Akcat di wilayah itu sedang dipindahkan.

Banyak rumah musnah dan tidak boleh didiami, lapor Agensi Berita Demiroren yang turut berkongsi imej bangunan yang musnah.

Usaha memadam kebakaran sedang dijalankan dari udara dan darat, melibatkan enam pesawat, 10 helikopter, 75 jentera dan 200 anggota, menurut pejabat gabenor itu.

Pejabat Gabenor Kocaeli berkata angin di kawasan itu diramalkan mencapai 60 hingga 80 kilometer sejam sehingga Sabtu malam selain memberi amaran kepada penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.

-- BERNAMA


#kebakaran hutan #Turkiye #Kocaeli #pindah penduduk