SYDNEY: Kebakaran yang berlaku di salah satu daripada dua kilang penapisan minyak yang masih beroperasi di Australia dijangka memberi kesan lebih besar terhadap pengeluaran petrol berbanding diesel dan bahan api penerbangan, menurut pihak berkuasa pada Khamis, ketika pasukan kecemasan terus berusaha memadamkan kebakaran tersebut.
Anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang tercetus di unit pengeluaran petrol syarikat Viva Energy di kilang penapisan Geelong, negeri Victoria, yang memproses minyak mentah kepada petrol.
Advertisement
Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini daripada kejadian yang mula disedari oleh pihak kecemasan sekitar jam 11 malam Rabu (1300 GMT).
“Kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya, jadi masih ada perjalanan yang panjang.
"Ini bukan perkembangan yang positif, namun masih terlalu awal untuk menilai kesan keseluruhannya,” kata Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen, kepada Channel Nine.
Insiden itu berlaku ketika Australia sedang berusaha memperkukuh keselamatan bekalan bahan api susulan gangguan bekalan global akibat konflik di Asia Barat, yang turut mencetuskan pembelian panik petrol dan diesel di peringkat tempatan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese, dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia pada Khamis bagi membincangkan usaha mendapatkan bekalan bahan api daripada rakan serantau.
“Pada peringkat ini, pengeluaran bahan api penerbangan dan diesel masih diteruskan di kilang penapisan itu pada kadar yang lebih rendah atas faktor keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kesan utama adalah kepada pengeluaran petrol, namun ini masih peringkat awal,” kata Bowen.
Ketua Pegawai Eksekutif Viva Energy, Scott Wyatt, berkata keutamaan utama syarikat adalah memadamkan sepenuhnya kebakaran yang menjejaskan operasi di dua unit kilang sebelum menilai tahap kerosakan dan memulihkan pengeluaran secara selamat.
“Semua unit lain masih beroperasi dan dalam pengeluaran, tetapi pada kadar minimum bagi memastikan keselamatan di seluruh tapak,” kata Wyatt kepada pemberita.
“Kami hanya akan meningkatkan semula pengeluaran apabila yakin ia boleh dilakukan dengan selamat.”
Kilang penapisan Geelong, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Melbourne, mampu memproses sehingga 120,000 tong minyak sehari.
Ia membekalkan lebih separuh keperluan bahan api di negeri Victoria dan kira-kira 10 peratus daripada jumlah permintaan nasional Australia.
Pihak berkuasa bomba memaklumkan tiada ancaman terhadap keselamatan awam, walaupun asap mungkin menjejaskan beberapa kawasan berhampiran, selain sekatan trafik yang masih dikuatkuasakan.
Pasukan kecemasan digerakkan selepas menerima beberapa panggilan melaporkan letupan dan api di kawasan kilang.
Tahap kerosakan sebenar masih belum dapat dipastikan, namun insiden ini berlaku ketika kebimbangan terhadap bekalan bahan api Australia semakin meningkat susulan tindakan Iran yang hampir menutup Selat Hormuz selepas diserang Amerika Syarikat dan Israel.
Bulan lalu, Albanese mengumumkan langkah bantuan sementara termasuk pengurangan separuh cukai eksais bahan api serta penggantungan caj pengguna jalan berat selama tiga bulan bagi membantu isi rumah menangani peningkatan kos yang didorong oleh perang melibatkan Iran.