Ringkasan AI
- Kebakaran di Pangkalan Tentera Wainwright, Alberta mengorbankan empat anggota tentera Kanada selepas api merebak hampir satu kilometer dalam kurang seminit.
- Seramai 39 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk sekurang-kurangnya 19 dalam keadaan kritikal selepas insiden ketika latihan tempur menggunakan peluru hidup.
- Punca kebakaran masih disiasat, dengan pihak berkuasa menolak kaitan dengan keganasan atau kerosakan infrastruktur minyak dan gas berhampiran.
OTTAWA: Kebakaran yang mengorbankan empat anggota tentera Kanada di Pangkalan Tentera Wainwright, Alberta pada Sabtu lalu dipercayai merebak hampir satu kilometer dalam tempoh hanya 30 hingga 60 saat akibat tiupan angin kencang.
Komander Divisyen Pertama Angkatan Tentera Kanada, Wade Rutland, berkata fenomena itu adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah disaksikannya sebelum ini.
"Api berada kira-kira satu kilometer dari lokasi anggota bertugas apabila arah angin berubah. Bukan perkara biasa untuk kebakaran bergerak sejauh satu kilometer dalam tempoh 30 hingga 60 saat," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, anggota infantri yang terlibat ketika itu sedang menjalani latihan tempur menggunakan peluru hidup apabila kebakaran yang pada mulanya berada jauh dari kawasan latihan secara tiba-tiba melanda lokasi mereka.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, berkata api yang dipacu angin kencang merebak dengan luar biasa pantas, sejauh hampir satu kilometer dalam masa kurang seminit, sebelum melanda kawasan anggota tentera yang sedang menjalani latihan.
Beliau menyifatkan tragedi itu sebagai antara insiden paling buruk menimpa angkatan tentera Kanada dalam tempoh aman.
Empat anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Sarjan Morgan Wong, Prebet Shaun Farrell, Prebet Aidan Goulding dan Prebet Hayden Lykkemark.
Seramai 39 mangsa masih menerima rawatan di hospital, termasuk sekurang-kurangnya 19 yang berada dalam keadaan kritikal.
Pihak tentera memaklumkan punca kebakaran masih disiasat dan setakat ini tiada petunjuk ia berpunca daripada aktiviti keganasan atau kerosakan pada infrastruktur minyak dan gas berhampiran.
Siasatan penuh dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan, manakala pihak berkuasa terus meneliti bagaimana kebakaran itu mampu merebak dengan begitu pantas sehingga menyebabkan korban dalam tempoh hanya beberapa minit.