Skip to main content

Dunia

Kebakaran Taman Negara Bromo: Operasi penyejukan diteruskan

Pasukan kecemasan bersama menjalankan operasi pemadaman kebakaran darat menggunakan pemukul api dan penyembur galas di Daerah Sukapura, Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur, pada Rabu.
Anggota bomba sedang memantau dan membasahi kawasan terjejas bagi memastikan tiada saki baki bara atau titik panas boleh menyala semula dan merebak ke bahagian lain. - BPBD Wilayah Jawa Timur
Advertisement

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia meneruskan operasi penyejukan dan pembersihan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Jawa Timur selepas kebakaran hampir dua minggu akhirnya berjaya dikawal.

Bagaimanapun, tapak popular itu masih ditutup kepada pelancong.

Ketua Biro Perhubungan Awam dan Kerjasama Luar Kementerian Perhutanan Ristianto Pribadi berkata anggota bomba sedang memantau dan membasahi kawasan terjejas bagi memastikan tiada saki baki bara atau titik panas boleh menyala semula dan merebak ke bahagian taman negara yang tidak terbakar.

Beliau berkata usaha penyejukan tertumpu pada kawasan yang masih boleh mengekalkan haba, terutamanya kerana kebakaran telah menjejaskan tumbuh-tumbuhan rumput, pokok saru gunung, paku pakis, pokok renek dan lapisan tebal sarap hutan.

"Kebakaran mungkin dapat dikawal, tetapi kerja belum selesai. Kita perlu memastikan kawasan yang terjejas benar-benar selamat dan tiada saki baki bara yang (boleh) menyala semula," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Api marak sejak 3 Ogos, dengan hampir dua minggu operasi membabitkan pelbagai agensi, sebelum Kementerian Perhutanan berkata tiada api aktif dikesan semasa pemantauan lapangan setakat pukul 3 petang waktu tempatan pada 14 Ogos, mengesahkan bahawa api telah dipadamkan.

Akses pelancong ke Bromo masih ditutup, dengan pihak berkuasa taman negara dalam catatan media sosialnya semalam memaklumkan pembukaan semula aktiviti pelancongan akan diumumkan selepas menerima pengesahan daripada pasukan petugas kebakaran hutan dan tanah.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Perhutanan Dwi Januanto Nugroho berkata kebakaran Bromo menekankan keperluan untuk memperkukuh pencegahan kebakaran hutan dan tanah semasa musim kemarau, khususnya di peringkat tempatan dan menerusi penglibatan masyarakat yang lebih besar.

"Masyarakat adalah yang paling dekat dengan kawasan itu, selalunya orang pertama yang tahu bila berlaku gangguan, dan juga paling terjejas apabila berlaku kebakaran. Oleh itu, melindungi hutan mesti dilakukan bersama-sama masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement