DUNIA

Kebanyakan eksport makanan Korea bertumpu kepada AS, China dan Jepun

Bernama 18/01/2026 | 20:00 MYT
Ramyeon, strawberi dan makanan laut adalah antara eksport agrikulktur Korea Selatan yang paling berjaya. - Freepik
SEOUL: Eksport produk pertanian dan makanan Korea Selatan kekal tertumpu secara besar-besaran kepada pasaran Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun, lapor agensi berita Yonhap pada Ahad.

Data terbaharu itu menekankan keperluan untuk mempelbagaikan pasaran bagi mengekalkan pertumbuhan industri berkenaan.

AS menduduki tempat pertama dengan import produk makanan Korea Selatan bernilai AS$1.8 bilion, merangkumi 17.5 peratus daripada keseluruhan eksport makanan, diikuti China dengan perkongsian 15.4 peratus dan Jepun sebanyak 12.7 peratus.

Eksport ke Kesatuan Eropah (EU), termasuk United Kingdom, berjumlah AS$773 juta atau 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala penghantaran ke negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman merangkumi kira-kira empat peratus.

Sebagai tindak balas, kerajaan dan pihak industri telah mempergiat usaha untuk meneroka pasaran baharu.

Kementerian Pertanian melancarkan pasukan petugas awam-swasta pada Disember lepas bagi mengenal pasti produk strategik mengikut wilayah, mempromosikan projek penembusan pasaran serta meluaskan langkah sokongan untuk pertumbuhan eksport.

Pihak berkuasa turut meningkatkan jangkauan kepada pembeli dari pasaran pesat membangun melalui perundingan perdagangan dwitahunan serta memperkukuh usaha pemasaran tempatan.

Kerajaan telah menetapkan lima negara termasuk Afrika Selatan dan Chile sebagai pasaran utama tahun lepas, dan memutuskan untuk memperluas senarai itu merangkumi Argentina, Qatar, Turkiye, Ghana dan India.

"Kami sedang berkembang ke bandar-bandar tahap kedua dan ketiga di AS, China dan Jepun, dan bukannya hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar.

Kami juga berusaha untuk menggalakkan pertumbuhan di Timur Tengah dan Afrika sebagai pasaran strategik," kata seorang pegawai kementerian.

-- BERNAMA


#eksport produk pertanian #Korea Selatan #perdagangan #Amerika Syarikat #China #Jepun