DUNIA

Kebanyakan sekolah terjejas akibat bencana di Sumatera Utara dijangka dibuka semula 5 Jan

Bernama 04/01/2026 | 21:30 MYT
1,157 daripada 1,215 sekolah di kawasan terjejas bersedia untuk dibuka semula, selaras dengan bermulanya penggal persekolahan kedua. - Gambar AP
JAKARTA: Sekolah-sekolah di kawasan terjejas akibat bencana di Sumatera Utara dijangka menyambung semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Isnin, dengan lebih 95.23 peratus daripadanya diisytiharkan bersedia meskipun masih terdapat kerosakan susulan banjir dan tanah runtuh baru-baru ini, menurut pihak berkuasa Indonesia.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah Indonesia, Abdul Mu'ti berkata, 1,157 daripada 1,215 sekolah di kawasan terjejas bersedia untuk dibuka semula, selaras dengan bermulanya penggal persekolahan kedua di seluruh negara.

Beliau menambah, beberapa sekolah akan beroperasi di bawah pengaturan sementara, termasuk mengadakan kelas di dalam khemah, manakala yang lain masih dalam proses pembersihan.

"Insya-Allah pada 5 Jan (Isnin) sekolah-sekolah tersebut sudah dapat digunakan sebagaimana mestinya," katanya.

Bagi institusi pendidikan yang masih belum pulih sepenuhnya, Abdul Mu'ti berkata, kementerian telah menyediakan kurikulum yang direka khas, sambil menekankan pendekatan itu bersifat adaptif dan fleksibel, mengambil kira keadaan di lapangan tanpa menjejaskan semangat pelajar untuk terus belajar.

"Apa yang paling penting adalah semangat kita untuk bangkit semula, keazaman untuk terus belajar dan dorongan untuk mengejar masa depan yang lebih baik," katanya.

Abdul Mu'ti turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mempercepatkan pemulihan sektor pendidikan di Sumatera Utara.

Media melaporkan bahawa banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera pada akhir November lalu meragut lebih 1,000 nyawa dengan 165 orang masih hilang manakala lebih 250,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

-- BERNAMA




#sekolah #mangsa banjir #sumatera utara #penggal persekolahan #bencana #pendidikan