KAHERAH: Lima anggota daripada sebuah keluarga maut dalam kebakaran sebuah pangsapuri yang berpunca daripada kebocoran gas di Wilayah Giza, di barat ibu negara Mesir, Kaherah, lapor Xinhua yang memetik laman berita milik kerajaan, Al-Ahram, pada Khamis.
Siasatan awal mendapati, kebocoran gas mencetuskan kebakaran di sebuah pangsapuri di tingkat tujuh di Daerah Omraniya, mengorbankan seorang nenek, anak perempuannya serta tiga cucunya, menurut laporan itu.
Nenek berkenaan ditemukan maut di dalam pangsapuri yang terbakar, manakala anak perempuannya dan tiga kanak-kanak itu maut selepas terjun dari tingkat tujuh dalam usaha menyelamatkan diri daripada kebakaran, menurut hasil pemeriksaan awal.
Pasukan pertahanan awam dan ambulans bergegas ke lokasi selepas menerima laporan kecemasan, dan kebakaran berjaya dikawal, menurut media berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke hospital, manakala pihak pendakwaan membuka siasatan berhubung kejadian itu.
-- BERNAMA-XINHUA